Pertubuhan kebajikan New Zealand mohon maaf edar gula-gula bercampur dadah Methamphetamine

Agensi
Ogos 14, 2024 07:15 MYT
Agihan gula-gula dalam bungkusan berwarna kuning dan berperisa nenas disumbangkan oleh seorang penderma yang tidak dikenali kepada Auckland City Mission. - Gambar REUTERS
AUCKLAND: Sebuah pertubuhan kebajikan di New Zealand secara tidak sengaja telah mengagihkan gula-gula yang dicampur dengan dadah Methamphetamine, yang boleh membawa maut, melalui pek makanan yang disalurkan kepada masyarakat.
Kejadian ini berlaku apabila gula-gula tersebut dalam bungkusan berwarna kuning terang berperisa nenas, disumbangkan oleh seorang penderma yang tidak dikenali kepada Auckland City Mission.
Setelah seorang penerima melaporkan rasa yang pelik ketika memakan gula-gula tersebut, pihak pertubuhan menghantar sampel untuk diuji dan mendapati gula-gula tersebut mengandungi sejumlah besar methamphetamine.
Ujian sampel itu mendapati setiap biji gula-gula berpotensi mengandungi sehingga 300 kali ganda dos biasa yang digunakan oleh penagih.
Kejadian ini mengakibatkan tiga orang, termasuk seorang kanak-kanak, menerima rawatan di hospital setelah memakan gula-gula tersebut.
Pihak berkuasa New Zealand kini sedang menjalankan siasatan terhadap insiden ini dan ada kebimbangan bahawa gula-gula ini mungkin sebahagian daripada skim penyeludupan dadah yang tidak berjaya sebelum disumbangkan kepada pertubuhan kebajikan tersebut.
Dalam masa sama, Auckland City Mission memohon maaf secara terbuka dan sedang berusaha untuk menarik balik semua pek makanan yang mungkin mengandungi gula-gula berbahaya ini.
Pertubuhan tersebut kini menghadapi tekanan untuk memastikan keselamatan penerima bantuan mereka kerana kebanyakan penerima adalah golongan yang rentan, termasuk individu yang sedang berjuang melawan ketagihan. - Agensi
#gula-gula dadah #dadah methamphetamine #pertubuhan kebajikan #Auckland City Mission
;