Pertubuhan Islam kutuk serangan bom Israel ke atas sekolah di Gaza

Bernama
November 19, 2023 06:20 MYT
Anggota tentera rejim Zionis Israel ketika mengadakan operasi darat di Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS
RABAT: Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Dunia Islam (ISESCO) pada Ahad mengutuk sekeras-kerasnya pengeboman tentera penceroboh Israel ke atas sekolah di utara Semenanjung Gaza dan menyifatkan perbuatan itu sebagai "biadab", lapor Agensi Anadolu.
Pada Sabtu, lebih 200 rakyat Palestin terbunuh dan cedera selepas Israel mengebom Sekolah Al-Fakhoura di kem pelarian Jabalia di utara Semenanjung Gaza dan Sekolah Tal Al-Zaatar di bandar Beit Lahia.
ISESCO dalam kenyataannya berkata: "Kami mengutuk jenayah kejam yang dilakukan oleh tentera penceroboh Israel yang menyasarkan sekolah Al-Fakhoura dan Tal Al-Zaatar di Semenanjung Gaza yang mengakibatkan ratusan korban dan cedera."
Perlakuan kejam tanpa membezakan sasaran antara sekolah, institusi perubatan dan kemudahan ketenteraan, menunjukkan Israel melanggar semua bentuk undang-undang dan norma antarabangsa.
"Tiada kuasa lain pernah menggunakan peralatan ketenteraannya untuk menceroboh dan menyerang kanak-kanak, sekolah dan hospital, sekali gus menunjukkan sikap dan tingkah laku yang tidak masuk akal dan belum pernah berlaku sebelum ini," menurut kenyataan itu.
Pengeboman Israel ke atas sekolah berkenaan turut mendapat kecaman meluas dari negara dan pertubuhan Arab dan Islam.
-- BERNAMA
#Gaza #Israel #sekolah #bom
;