Pertimbang proses pemutihan untuk warga Rohingya - Majlis Peguam

Dania Zainuddin
September 26, 2017 19:09 MYT
Kerajaan wajar pertimbangkan proses pemutihan bagi warga Rohingya yang sudah menetap lama di Malaysia serta menyumbang kepada ekonomi negara tanpa sebarang rekod jenayah.
Menurut Ahli Majlis Peguam Edmund Bon, sudah tiba masa Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi pengiktirafan dan membenarkan mereka bekerja secara sah.
"Kita lihat ramai pelarian dan mereka tanpa kerakyatan di Malaysia sudah bertahan lama di sini.
"Mereka sudah membina komuniti, membuat pekerjaan buruh dan anak-anak mereka memasuki sekolah pelarian.
"Kita perlu juga mengakui mereka berdepan diskriminasi," kata Bon, ketika ditemui Astro AWANI di sini hari ini.
BACA: Bagaimana masa depan pelarian Rohingya di Malaysia?
BACA: Adakah golongan Rohingya ibarat Palestin di Asia Tenggara?
Jelas beliau, setakat ini undang-undang negara menetapkan mana-mana pelarian ataupun mereka yang tidak memiliki pasport yang sah boleh didakwa di mahkamah.
Namun, kerajaan sudah memberi kelonggaran menerusi kad UNHCR.
"Pelarian yang memiliki kad UNHCR tidak akan didakwa. Tetapi mereka tidak boleh mendapat pekerjaan, rawatan perubatan dan pendidikan.
"Jika kita bercakap mengenai hak asasi manusia, mereka yang bukan warganegara Malaysia tidak memiliki hak tersebut," katanya.
Ketika membincangkan nasib Rohingya di negara ini, Bon berkata selain proses pemutihan, pelarian ini juga boleh ditempatkan ke negara-negara lain.
Jelasnya, jika negara Myanmar kembali stabil, pilihan ketiga adalah untuk mereka kembali ke negara asal.
Pengasas KRA Group Karim Raslan ketika ditemui oleh Astro AWANI pada Isnin, mengakui Malaysia telah memainkan peranan penting dalam membantu Rohingya namun beliau menyoal kemampanan negara ini dalam menangani isu global ini.
Namun, Karim turut mempersoalkan hala tuju dan masa depan pelarian Rohingya di negara ini.
#Asia #Edmund Bon #ekonomi #Karim Raslan #KDN #Kementerian Dalam Negeri #mahkamah #Myanmar #perubatan #Rohingya
;