Pertikaian undang-undang di Brazil: X milik Elon Musk akur sebahagiannya

Bernama
September 22, 2024 17:06 MYT
X telah membiarkan tempoh yang diberikan oleh mahkamah untuk melantik wakil undang-undang berakhir begitu sahaja. - Gambar hiasan
BUENOS AIRES: Selepas penutupan platform media sosial X di Brazil, syarikat milik bilionair teknologi Elon Musk itu sebahagiannya akur dan melantik wakil undang-undang di negara Amerika Selatan itu, lapor Agensi Berita Jerman dpa.
Bagaimanapun, Hakim Persekutuan Alexandre de Moraes menuntut dokumen tambahan dan memberikan tempoh lima hari kepada X untuk menyerahkan dokumen pelantikan peguam Rachel Villa Nova Conceicao sebagai wakil undang-undang X di Brazil.
Hakim berkenaan menuntut surat kuasa daripada peguam bagi X di Brazil dan bukti pendaftaran sah peguam itu dengan Dewan Perdagangan Negeri Sao Paulo, seperti yang dinyatakan dalam keputusan Mahkamah Agung Persekutuan.
Moraes telah mengarahkan penutupan perkhidmatan dalam talian itu pada akhir Ogos.
X telah membiarkan tempoh yang diberikan oleh mahkamah untuk melantik wakil undang-undang berakhir begitu sahaja.
Syarikat itu juga enggan menyekat akaun aktivis sayap kanan yang menyebarkan teori konspirasi dan maklumat salah.
Kemudian, Mahkamah Agung Persekutuan menarik balik denda sebanyak 18.35 juta reais (AS$3.3 juta) daripada akaun bank X dan syarikat Internet Musk, Starlink.
Musk menutup pejabat X di Brazil pada pertengahan Ogos, menyatakan kebimbangannya bahawa wakil ketika itu mungkin ditahan kerana pertikaian undang-undang mengenai akaun X milik aktivis sayap kanan.
Peguam yang baru dilantik itu telah mewakili syarikat berkenaan sebelum pejabat Brazil ditutup.
Musk menampilkan dirinya sebagai pembela kebebasan bersuara. Dia menuduh Moraes menyerang kebebasan bersuara dan menggelar hakim itu sebagai "diktator jahat."
Pada April, hakim persekutuan itu memulakan siasatan awal terhadap Musk sendiri atas dakwaan menghalang keadilan dan menghasut jenayah.
-- BERNAMA
#X #Twitter #Brazil #pertikaian undang-undang #Elon Musk
;