Pertikaian mengenai pajakan tanah bernilai 3 juta Baht (RM375,000) dikenal pasti sebagai motif di sebalik insiden pembunuhan kejam ke atas lapan sekeluarga di Kampung Ban Klang, Aolud di sini baru-baru ini.

Ia disahkan oleh Ketua Polis Thailand, Jeneral Chaktip Chaijinda yang turut mengumumkan penangkapan perancang utama kejadian itu serta tujuh yang lain.

"Seorang peniaga tempatan yang dikenali dengan nama ‘Bang Fat’ telah ditahan kerana disyaki sebagai dalang utama kejadian pembunuhan itu," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini pada Ahad.

Suspek utama itu menurut beliau, enggan memulangkan tanah yang dipajaknya dengan seorang mangsa iaitu ketua kampung yang dikenali sebagai Worayut Sanglang apabila diminta, mengakibatkan pertelingkahan antara mereka sehingga berlanjutan ke mahkamah.

Bang Fat telah mengancam untuk membunuh ketua kampung berkenaan sebanyak tiga kali, katanya.

Pada Ahad, ketua polis Thailand serta pegawai penyiasat lain telah dibawa oleh seorang suspek ke lokasi di Phang Nga di mana dia dan rakannya yang lain membakar kereta milik mangsa yang dicuri selepas kejadian itu.

Dia juga menunjukkan tiga lokasi di mana disembunyikan senjata api yang digunakan dalam pembunuhan itu, kad memori kamera litar tertutup dan pakaian yang digunakan pada hari kejadian.

Dalam kejadian yang berlaku lima hari lepas itu, sekumpulan tujuh lelaki bersenjata dan memakai pakaian celoreng menyerbu rumah ketua kampung itu kira-kira 4 petang dan menahan anggota keluarganya.

Kesemua lapan mangsa termasuk tiga kanak-kanak perempuan ditembak mati pada tengah malam atau awal pagi keesokan hari.

-- BERNAMA