Pertemuan Trump-Kim: Apa maknanya kepada kita?
Luqman Hariz
Jun 30, 2019 20:17 MYT
Jun 30, 2019 20:17 MYT
SATU detik yang cukup bersejarah.
Hanya tiga atau empat tahun yang lalu, tiada siapa dapat bayangkan Presiden Amerika Syarikat akan menjejakkan kaki ke bumi Korea Utara, suatu negara yang dianggap musuh sejak sekian lama.
Juga, satu negara yang secara teknikalnya, masih berperang dengan sekutu rapat Amerika di Asia, Korea Selatan (Korea Selatan dan Korea Utara hanya mengumumkan gencatan senjata bagi Perang Korea pada 1953 dan ia bukannya pengakhiran rasmi kepada perang tersebut).
Tetapi petang tadi, Ahad, 30 Jun, waktu tempatan, ia berlaku buat pertama kalinya.
Ada yang mengatakan ia hanya satu peluang ‘photo op’ untuk Donald Trump dan Kim Jong Un. Ada pula yang berkata ia satu langkah yang serius, berniat baik dan signifikan untuk mengubah landskap politik dunia.
Sudah tentu, matlamat terbesar Trump menambah baik hubungan dengan Kim adalah untuk memujuk rakan sejawatannya itu menghapuskan senjata nuklear Korea Utara, malah menghentikan program pembangunan nuklearnya secara keseluruhannya.
Kim pula mahu Amerika dan sekutunya menghentikan sekatan ekonomi yang semakin merencat ekonomi negara itu yang sudah pun malap sejak azalinya.
Jadi apa pula impaknya kepada kita?
Ahli-ahli akademik yang ditemu bual Astro AWANI berkata, apa yang berlaku hari ini mampu mengubah landskap geopolitik Asia untuk berpuluh tahun akan datang.
Felo Utama Institut Hubungan Antarabangsa Singapura, Dr Oh Ei Sun optimis dengan pertemuan hari ini, khasnya selepas usaha Trump dan Kim sebelum ini berakhir dengan hampa.
Kedua mereka bertemu di Singapura pada Jun 2018 dan Hanoi pada Februari 2019, tetapi gagal mencatat sebarang pencapaian konkrit atau berjangka panjang.
Menurut Oh, prioriti pada ketika ini adalah mengurangkan ketegangan.
“Asia tidak perlu lebih banyak isu yang menyumbang kepada ketidakstabilan di benua ini, kerana ekonomi Asia sekarang ini pun sudah tidak begitu baik, begitu juga dengan beberapa ekonomi besar dunia.
“Jadi (pertemuan Trump-Kim) ini satu langkah positif dalam mengurangkan ketegangan, supaya selepas ini semua negara boleh fokus kepada mengembangkan perdagangan dan mencambahkan ekonomi, bukan asyik meluangkan masa dengan isu nuklear di Korea Utara,” katanya.
Penganalisis politik Prof Dr Hamidin Abdul Hamid pula berpendapat, ini percubaan Amerika untuk kembali menjadi kuasa dominan di benua Asia, bagi mengimbangi kuasa China.
Kedua-dua ekonomi terbesar dunia itu sedang rancak bersaing, yang kini mengakibatkan perang perdagangan yang menjerat ekonomi sedunia.
Percaturan Amerika ini berpotensi membawa impak besar kepada banyak isu yang membabitkan negara ASEAN.
“Apa kuasa yang ASEAN boleh gunakan untuk mengimbangi kuasa China? Dalam konteks itu, saya melihat negara ASEAN mungkin akan menggunakan apa yang berlaku di Korea Utara hari ini sebagai satu instrumen untuk berdepan dengan China.
“Contohnya, berkenaan isu Kepulauan Spratly, Laut China Selatan dan sebagainya. (Langkah Trump) ini akan meletakkan Amerika dalam kedudukan berbeza,” katanya.
Apa pun niat sebenar Trump dan Kim, sama ada untuk ‘photo op’ atau ikhlas untuk menjadikan dunia lebih baik, tidak dinafikan impak apa yang berlaku hari ini akan dirasai untuk berdekad akan datang.
Dan Asia Tenggara akan berada di tengah-tengah semua ‘aksi’ ini.
Di Amerika Syarikat, kempen untuk pilihan raya Presiden sudah mula rancak.
“Saya rasa pertemuan ini hanya untuk memastikan Trump dilantik semula menjadi Presiden, dan Presiden Korea Selatan Moon Jae-In juga mengambil kesempatan,” kata seorang rakyat Korea Selatan apabila ditanya reaksi berkenaan pertemuan hari ini.
Apa pun, Trump tetap optimis usahanya kali ini tidak akan sia-sia.
Susulan pertemuan ini, kata beliau, Amerika akan menyambung rundingan dengan Korea Utara berhubung masa depan senjata nuklear negara itu.
“Saya mahu jemput dia, sekarang, ke White House,” kata Trump sambil Kim tersenyum.
#ASEAN
#Asia
#China
#DMZ
#Donald Trump
#Hamidin Abdul Hamid
#Hanoi
#impak
#Kim Jong Un
#Korea Selatan
#Korea Utara
#kuasa dominan
#Oh Ei Sun
#penganalisis politik
#perang perdagangan
#pilihan raya presiden
#rundingan
#sekatan ekonomi
#senjata nuklear
#Singapura