Pertempuran di Tripoli, angka kematian meningkat 16

Bernama
Julai 24, 2022 13:21 MYT
Anggota tentera berkawal di sebatang jalan di Tripoli, 22 Julai 2022. (Foto AP)
TRIPOLI: Angka kematian akibat pertelagahan dua kumpulan bersenjata di Tripoli, ibu negara Libya, telah meningkat kepada 16 manakala 52 lagi mangsa cedera, menurut Kementerian Kesihatan Libya pada Sabtu, lapor Xinhua.
"Mangsa yang cedera sedang menerima rawatan di hospital awam dan swasta di Tripoli," menurut kementerian itu menerusi laman Facebooknya.
Pertempuran meletus antara dua kumpulan bersenjata yang bersaing merebut kawasan di Tripoli pada Khamis dan berlarutan sehingga Jumaat.
Misi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Libya (UNSMIL) pada Jumaat menyuarakan kebimbangan mengenai kejadian itu, dan menyeru semua rakyatnya untuk melakukan segala yang mampu bagi memelihara "kestabilan yang semakin rapuh ketika ini".
Libya berdepan keganasan dan pergolakan sejak kejatuhan rejim Muammar Gaddafi pada 2011.
-- BERNAMA
#kumpulan bersenjata #Tripoli #rawatan #cedera
;