Pertembungan generasi tua dan muda sebenarnya cetuskan cabaran berbahaya - Obama
Najib Aroff
September 17, 2021 16:53 MYT
September 17, 2021 16:53 MYT
KUALA LUMPUR: Pertembungan antara generasi muda dan tua dijangka mewujudkan persekitaran yang amat mencabar dalam segenap aspek.
Menurut bekas Presiden Amerika Syarikat Barack Obama, golongan muda sebagai contoh amat idealistik, sofistikated mempunyai kesedaran lebih luas berkait isu global, pakar dalam teknologi dan mempunyai semangat keusahawanan tinggi berbanding golongan berusia.
Masih ramai golongan berusia yang berada di takuk lama termasuk cara kepimpinan dan pemikiran, katanya.
“Apa yang kita bakal saksikan adalah generasi muda membuatkan banyak institusi berubah untuk mengadaptasi kepada realiti baharu.
“Golongan muda lebih terhubung berbanding golongan tua dan ini berlaku kerana perkembangan teknologi yang mana tidak ada sesiapa terasing lagi.
“Sebab itu kita lihat pertembungan berlaku di seluruh dunia antara golongan tua yang mahu kekal dengan cara lama dan tercabar dengan pengaruh luar, manakala golongan muda lebih terbuka dan menerima idea dan cara pemikiran baharu,” katanya dalam Sidang Kemuncak Reshape 2021, pada Selasa.
Obama berkata, pertembungan dan perubahan itu dijangka mewujudkan cabaran yang berbahaya.
“Ini kerana mereka yang mahu kekal dengan cara lama akan rasa terancam dengan perkara baharu dan golongan muda akan perlu lebih berjuang terutama melibatkan usahawan baharu dan ahli politik muda untuk berdepan golongan berusia ini.
“Namun, kelebihan yang dimiliki golongan muda adalah teknologi yang mana membolehkan idea mereka disebarkan kepada berjuta orang dengan pantas dan ini memberikan mereka kuasa dan pada masa sama mewujudkan kebertanggungjawaban,” katanya.
Obama berkata demikian dalam Sidang Kemuncak Reshape 2021 kelolaan syarikat teknologi, Insider itu, menghimpunkan kepimpinan dan pemikiran terbesar dunia yang menampilkan ramai pemimpin dalam pelabagai industri berkongsi pandangan mereka.
Sidang kemuncak dua hari itu bermula pada Sept 15, 2021 turut menampilkan Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Sandiaga Uno, Menteri Digital Taiwan, Audrey Tang, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dan ramai lagi.
Dalam sesinya yang bertajuk, A Conversation with President Barack Obama, beliau turut menekankan kepentingan untuk negara mahupun organisasi mewujudkan keterangkuman dan kepelbagaian dalam kepimpinan mereka.
Ini termasuk melibatkan lebih ramai golongan wanita dan golongan berbeza bangsa dan agama.
“Seorang pemimpin perlu tahu bahawa tidak kira betapa bijak, bekerja keras dan strategiknya anda, tidak semua benda anda tahu, tidak semua perspektif anda ada.
“Syarikat yang mempunyai penglibatan lebih ramai wanita dalam lembaga pengarah mempunyai prestasi lebih baik di pasaran saham dan lebih efektif.
“Jika anda lihat negara yang mempunyai pemimpin wanita atau wanita sebagai pembuat dasar, negara itu lebih cenderung mempunyai prestasi lebih baik,” katanya.
Tambahnya, turut menjadi tanggungjawab seorang pemimpin untuk bukan sahaja mewujudkan kumpulan modal insan yang pelabagai sebaliknya membentuk kumpulan yang dinamik dan memperkasakan mereka.