Pertama kali! bilik pameran kereta diserbu wanita Arab Saudi
Agensi
Januari 12, 2018 17:49 MYT
Januari 12, 2018 17:49 MYT
BILIK pameran kereta khusus untuk kaum hawa di Arab Saudi akhirnya dibuka!
Bilik pameran yang dibuka buat julung-julung kalinya di sebuah pusat beli-belah di Jeddah itu pantas menjadi tumpuan kaum wanita.
Belon berwarna merah jambu, oren dan kuning menghiasi bilik pameran dan pada masa yang sama, ada pengunjung yang sempat berswafoto di depan kenderaan.
"Saya memang tertarik dengan kereta, tetapi kami tidak boleh memandu. Kini, saya amat berminat untuk membeli kenderaan dan berharap harga kereta tidak terlalu tinggi," kata seorang pengunjung, Ghada al-Ali.
September lalu, Raja Salman AbdulAziz Al-Saud mengeluarkan perintah membenarkan wanita negara itu memandu kereta juga bermula Jun 2018.
Nenurut Lembaga Pengarah Trafik Umum Arab Saudi, undang-undang baharu itu digubal bagi memberi ‘kesaksamaan’ terhadap golongan lelaki dan wanita.
Bagaimanapun tidak ada sebarang nombor pendaftaran khas diwujudkan bagi membezakan kedua-dua pemandu berkenaan.
Bagaimanapun, pemandu wanita yang terbabit kemalangan jalan raya atau salah laku akan dikendalikan oleh pusat khas yang ditubuhkan dan diselia oleh wanita.
Arab Saudi adalah satu-satunya negara di dunia yang mengenakan larangan kepada wanita untuk memandu.