Pertahan diri bukan jawapan bunuh rakyat Palestin - Afrika Selatan

Astro Awani
Januari 12, 2024 07:15 MYT
Menteri Kehakiman Afrika Selatan Ronald Lamola ketika berucap kepada pemberita di luar perkarangan Mahkamah Keadilan Antarabangsa di The Hague. - Foto AP
THE HAGUE: Israel telah gagal untuk menyangkal tuduhan pembunuhan beramai-ramai yang dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) oleh kerajaan Afrika Selatan.
Menteri Kehakiman negara itu, Ronald Lamola menegaskan kes dikemukakan mereka hanya berpaksi kepada fakta dan undang-undang.
Ini kerana semua bukti yang dibentangkan, Israel sememangnya melakukan genosid atau pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.
Beliau juga percaya dan sangat yakin bahawa fakta dan undang-undang tersebut adalah suatu pencabulan jelas Konvensyen Genosid.
"Di bawah Konvensyen genosid, tiada apa yang membenarkan tindakan pembunuhan beramai-ramai yang sedang dilakukan oleh Israel. Jadi pertahanankan bukanlah jawapan kepada pembunuhan beramai-ramai. Tiada apa yang boleh membenarkan pembunuhan beramai-ramai. Tiada yang boleh mengimbangi, seperti yang dicadangkan oleh Israel.
"Larangan itu mutlak. Ia adalah peraturan undang-undang yang utama, tidak kira apa yang dilakukan oleh sesetengah individu dalam kumpulan Palestin di Gaza dan tidak kira betapa hebatnya ancaman terhadap warga Israel.
"Serangan genosid ke atas seluruh Gaza dan seluruh penduduk ini dengan niat untuk memusnahkan mereka tidak boleh dibenarkan sama sekali," katanya.
Afrika Selatan, yang memfailkan tuntutan mahkamah di ICJ, meminta hakim untuk mengenakan langkah kecemasan yang memerintahkan Israel menghentikan serta-merta tindakan ketenteraannya dengan kejam di Semenanjung Gaza.
Lamola turut berkata alasan mempertahankan diri Israel bukanlah suatu jawapan untuk membunuh puluhan ribu rakyat yang tidak bersalah.
Kenyataan ini menyusul semasa hari kedua perbicaraan selepas Israel meminta hakim untuk menggugurkan kes pembunuhan beramai-ramai.
Sambil menegaskan bahawa tuntutan untuk menghentikan serangannya terhadap kumpulan pejuang Palestin Hamas di Gaza tidak mempunyai merit.
Penasihat undang-undang Israel memberitahu mahkamah bahawa menghentikan kempen ketenteraannya akan "membuat israel tidak dapat bertahan" daripada serangan Hamas.
#Ronald Lamola #Israel #genosid #Palestin
;