Pertabalan Raja Charles: Camilla pilih Mahkota Ratu Mary, 'gugur' permata Koh-i-Noor

Astro Awani
Februari 15, 2023 11:00 MYT
Camilla (kanan) tidak mahu mahkota baharu dibuat untuk pertabalan, sebaliknya hanya mengubah suai mahkota sedia ada. -Reuters
LONDON: Raja Permaisuri Britain, Camilla akan memakai mahkota Ratu Mary pada istiadat pertabalan Raja Charles, tanpa berlian kontroversi Koh-i-Noor kerana bimbang ia bakal mengimbau kisah silam tentang Empayar British.
Mahkota itu kini telah dikeluarkan daripada pameran di Menara London untuk kerja-kerja pengubahsuaian menjelang istiadat itu pada Mei.
Ini adalah kali pertama dalam hampir tiga abad untuk mahkota sedia ada digunakan semasa pertabalan permaisuri dan bukannya dibuat baharu.
Camilla, yang telah membatalkan majlis pertunangannya minggu ini selepas disahkan positif COVID-19, dikatakan telah membuat keputusan untuk memakai Mahkota Ratu Mary atas dasar kelestarian dan kecekapan.
Mahkota itu pada asalnya ditauliahkan untuk pertabalan Mary of Teck sebagai Ratu pada pertabalan Raja George V, moyang kepada raja ketika ini pada tahun 1911.
Beberapa perubahan dan penambahan akan dibuat oleh tukang emas atau Jauhari Diraja selaras dengan tradisi, menyelitkan unsur keunikan terutamanya untuk mencerminkan gaya individu pemakai.
Permaisuri Camilla memberi penghormatan kepada mendiang Ratu dengan menggantikan permata Koh-i-Noor kepada berlian Cullinan III, IV dan V yang sering dipakai sebagai kerongsang.
Sebagai tambahan kepada berlian, empat daripada lapan gerbang mahkota yang boleh ditanggalkan akan ditanggalkan, memberikan perspektif berbeza daripada ketika dipakai oleh Ratu Mary pada pertabalan 1911.
Sementara itu, Mahkota St Edward, yang akan digunakan semasa pertabalan Raja Charles, telah dipamerkan semula di Menara London selepas proses pengubahsuaiannya selesai.
Mengapa berlian Koh-i-noor begitu kontroversi?
Permata Koh-i-Noor telah dirampas oleh Syarikat India Timur di Punjab, utara India, berikutan kemenangan dalam Perang Anglo-Sikh Kedua 1849.
Ia diserahkan kepada Ratu Victoria dan sejak itu menjadi sebahagian daripada permata mahkota selain merupakan antara berlian potongan terbesar di dunia, seberat 105.6 karat (21.12 g).
Parti pemerintah perdana menteri India, Narendra Modi dilapor melahirkan kebimbangan bahawa berlian terkenal itu akan mengimbau imej tidak diingini tentang Empayar British.
Berlian itu kini dipamerkan kepada umum di Jewel House di Menara London.
Kerajaan India, Iran, Pakistan, Afghanistan, dan juga pemberontakan Taliban semuanya telah mendakwa pemilikan permata itu dan telah menuntut kepulangannya sejak India memperoleh kemerdekaan daripada Empayar British pada tahun 1947.
#Britain #Camilla #pertabalan Raja Charles #permata Koh-i-Noor
;