Persidangan Ulama: Konsep Keluarga Malaysia boleh dijadikan contoh untuk negara Islam - PM
Fareez Azman
Jun 30, 2022 16:49 MYT
Jun 30, 2022 16:49 MYT
SUBANG JAYA: Semua pihak terutamanya ulama dan para ilmuwan Islam perlu mencari jalan penyelesaian dalam berdepan cabaran pertikaian sesama sendiri.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, solidariti ummah perlu dipertahankan agar umat Islam di seluruh dunia tidak termakan dengan provokasi pihak tertentu sehingga mencetuskan Islamofobia.
"Persidangan ini diadakan ketika umat Islam masih berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk pertikaian sesama sendiri, provokasi pihak tertentu dan Islamofobia atau pandangan prejudis terhadap Islam.
"Saya berpendapat, penyelesaiannya perlu dicari dan ini memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak supaya kesucian agama Islam dan solidariti ummah dapat dipertahankan," katanya.
Mengambil kira pendekatan Keluarga Malaysia, ujar Ismail Sabri, konsep Tasamuh iaitu sikap menerima dan damai terhadap sebarang keadaan dihadapi turut ditekankan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.
"Ini kerana konsep Tasamuh turut mengutamakan nilai kebersamaan, selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang mampu menjadikan masyarakat di negara ini menghargai dan memahami nilai perbezaan.
"Tasamuh mampu menjadi alat untuk menyatupadukan warga Islam dan dunia, seharusnya konsep ini diterapkan dalam kalangan negara yang mempunyai bangsa dan budaya majmuk dan diperluaskan sehingga ke peringkat dunia," katanya lagi.
Justeru, jelasnya Konsep Keluarga Malaysia itu boleh diambil pendekatannya terhadap para ulama dan Ilmuwan Islam seluruh dunia.
"Konsep Keluarga Malaysia ini mampu disempurnakan oleh para ulama dan ilmuwan Islam dengan memberi pendekatan dalam erti kata kesatuan melalui Konsep Keluarga berlandaskan Islam.
"Kerajaan sedar ulama dan ilmuwan Islam memainkan peranan yang penting bagi memastikan landasan yang dipilih bertepatan dengan jalan yang lurus, siratul mustaqim.
"Justeru kita sentiasa mengalu-alukan pandangan dan nasihat ulama serta Ilmuwan Islam demi kesejahteraan Keluarga Malaysia di dunia dan di akhirat," ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai Persidangan Ulama' Asia Tenggara 2022, tambah Perdana Menteri, adalah menjadi harapan Malaysia untuk melihat input dan pandangan dapat diterjemahkan dalam pengukuhan perpaduan umat Islam seluruh dunia.
"Mengambil semangat dan kekuatan perhimpunan hari ini, besar harapan saya agar seluruh ulama dan Ilmuwan Islam dapat mencari kata sepakat dan memainkan peranan efektif ke arah kesatuan dan mewujudkan khaira ummah.
"Saya juga berharap semua input dan pandangan yang dibincangkan sepanjang persidangan ini dapat diterjemahkan kepada satu usaha yang dapat mengukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia," kata Ismail Sabri.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Ulama' Asia Tenggara 2022 di Subang Jaya pada Khamis.
Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.
Persidangan sehari itu menghimpunkan wakil dari 20 negara di rantau Asia, antaranya akan berkongsikan tentang konsep kesatuan, keadilan dan keharmonian antara pemimpin Islam dan masyarakat serta membawa mesej penyatuan ummah.
#Keluarga Malaysia
#Perdana Menteri
#Persidangan Ulama' Asia Tenggara 2022
#Islam
#Ummah
#Tasamuh
#ilmuwan