Persidangan Pengangkutan Mampan Global PBB luluskan Deklarasi Beijing

Bernama
Oktober 17, 2021 19:45 MYT
Persidangan Pengangkutan Mampan Global ke-2 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berakhir semalam telah meluluskan 'Deklarasi Beijing' mengenai peri pentingnya pengangkutan mampan. - BERNAMA
BEIJING: Persidangan Pengangkutan Mampan Global ke-2 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berakhir semalam telah meluluskan 'Deklarasi Beijing' mengenai peri pentingnya pengangkutan mampan.
Deklarasi itu turut mengandungi mengenai transformasi pengangkutan sebagai pendorong pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan, teknologi baharu sebagai kunci menyahut cabaran, menggalakkan kerjasama antarabangsa, pembinaan keupayaan dan pertukaran pengetahuan.
Ia juga mengandungi pembangunan dan inovasi teknologi, mempergiat pembinaan sistem pengangkutan mampan dan infrastruktur di desa, kawasan terpencil dan negara tertentu di samping mengintensifkan keselamatan lalu lintas global, keupayaan mengatasi krisis dan pencegahan serta kawalan pandemik.
Pelbagai pihak juga disaran memasukkan matlamat pengangkutan mampan dalam rancangan pembangunan negara masing-masing supaya agenda pembangunan berterusan 2030 PBB dapat dilaksanakan dengan lebih baik.
Selain itu, deklarasi tersebut juga menghargai sumbangan China yang menganjurkan persidangan kali ini, mengalu-alukan usaha China menubuhkan sebuah pusat inovasi dan ilmu dalam bidang pengangkutan mampan antarabangsa.
Persidangan tiga hari itu diadakan secara hibrid, melibatkan pelbagai aktiviti termasuk mesyuarat, forum peringkat menteri, forum inovasi sains dan teknologi dan forum usahawan, disertai lebih 130 menteri, wakil usahawan dan pegawai pertubuhan antarabangsa.
Antara agenda perbincangan mengenai kehidupan rakyat, pembangunan hijau, pembangunan keselamatan, kesalinghubungan, memerangi pandemik dan pemulihan ekonomi.
-- BERNAMA
#Deklarasi Beijing #Persidangan Pengangkutan Mampan Globa #Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu #pengangkutan mampan #China
;