Persidangan Nikkei: COVID-19 patut bawa perubahan total sistem farmaseutikal dunia - PM

Afiezy Azaman
Mei 20, 2021 12:27 MYT
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendesak untuk akses yang adil bagi mengakhiri pandemik serta pembaharuan menyeluruh sistem kesihatan untuk masa depan. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Negara-negara kaya tidak sepatutnya menyimpan vaksin COVID-19 dan patennya, tegas Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sehubungan itu, Perdana Menteri mendesak untuk akses yang adil bagi mengakhiri pandemik serta pembaharuan menyeluruh sistem farmaseutikal untuk masa depan.
Dalam ucapannya di Persidangan Nikkei Future of Asia, Muhyiddin berkata, masalah pembuatan menghalang usaha untuk mengekang jangkitan COVID-19 dengan pantas dan menangani varian baharu.
"(Sebanyak) 27 negara terkaya mempunyai 35.5 peratus vaksin, walaupun hanya meliputi 10.5 peratus populasi dunia.
"Negara-negara ini mempunyai lebih daripada cukup dos vaksin untuk mengimunisasi orang di luar populasi mereka sendiri," katanya.
Persidangan Nikkei Future of Asia akan diadakan di Tokyo secara dalam talian pada Jumaat Khamis.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, terdapat 1.23 bilion dos suntikan yang telah diberikan di 174 buah negara setakat ini dengan 252 juta dos atau 20 peratus bekalan global diambil oleh Amerika Syarikat (AS) sahaja.
Penyertaan Muhyiddin dalam persidangan tahunan Nikkei menandakan penglibatan terus pertamanya dengan organisasi media asing sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada Mac 2020.
Beliau akan disertai pemimpin tinggi Asia dalam menyampaikan perspektif mereka mengenai cabaran di rantau ini dan era pasca COVID-19.
Antara pemimpin lain termasuk Timbalan Perdana Menteri Singapura, Heng Swee Keat; Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh; Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan Ocha; Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen dan Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga.
Ahli Parlimen Pagoh itu menambah, negara-negara Asia lebih bermurah hati berkongsi vaksin mereka dengan China dan India masing-masing telah mengeksport sekitar 200 juta dan 66 juta dos vaksin kira-kira 48 peratus dan 23 peratus daripada jumlah pengeluaran mereka.
"Nisbah untuk AS dan UK (United Kingdom) jauh lebih rendah, iaitu 1.1 peratus dan 4 peratus," ujarnya.
Muhyiddin berkata, Asia harus memimpin dalam mengangkat perlindungan paten untuk menghasilkan versi generik ubat penyelamat nyawa yang lebih murah untuk penyakit kritikal daripada COVID-19 hingga HIV / AIDS.
Dalam masa sama, beliau mengalu-alukan sokongan Presiden AS, Joe Biden untuk pengecualian sementara perlindungan harta intelek terhadap vaksin COVID-19.
Jelasnya, ini harus menjadi pendahulu untuk transformasi keseluruhan sistem paten farmaseutikal global.
"Bagi Asia untuk mencegah dan memerangi wabak secara efektif ia harus beralih daripada 'pendekatan nasionalisme semata-mata' ke arah perkhidmatan kesihatan kepada pelaburan dalam kesihatan sebagai kebaikan awam global," tambahnya.
Muhyiddin turut memberi amaran tentang 'kekosongan kepimpinan global' dan 'defisit kepercayaan antara kuasa besar dunia' mengenai perdagangan, teknologi dan masalah geopolitik lain.
Meskipun globalisasi mengubah cara penyebaran penyakit menular, beliau menekankan dunia tidak memiliki sistem pemerintahan global yang efektif untuk menangani ancaman ini dengan pantas dan dalam skala besar yang melampaui kekuatan nasionalisme dan pengasingan.
"Oleh itu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mempunyai cabaran mencapai kata sepakat mengenai kerjasama antarabangsa bagi melawan pandemik dan 'seruan genjatan senjata dalam konflik di seluruh dunia'.
"Kita masih belum melihat tindak balas begini di mesyuarat Majlis Keselamatan PBB atau ketua negara global berkumpul untuk mengatur contohnya rantaian bekalan global dalam menangani wabak tersebut," tegasnya.
Tambah Muhyiddin, Asia dalam masa sama harus merebut krisis yang sedang berlaku sebagai peluang untuk membantu bangunkan dunia yang lebih setara dengan pemerintahan global yang lebih baik.
"Tidak akan ada yang boleh kembali ke status quo, tidak akan ada yang boleh pulih tanpa pemulihan Asia," jelasnya.
Malaysia menghadapi jangkitan COVID-19 lebih 485,000 kes setakat Rabu dengan 47,340 kes aktif sekali gus memburukkan kesihatan negara.
Angka kematian dalam negara juga mencecah 2,040 sejak pandemik ini mula menular tahun lalu.
Walaupun ekonomi menguncup 5.6 peratus pada 2020 dan menurun 0.5 peratus pada suku pertama tahun ini kerajaan Perikatan Nasional menjangkakan fiskal mencecah 6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini.
Sejak Mac 2020, kerajaan telah memberikan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM340 bilion untuk mengurangkan kesan pandemik.
Dalam ucapannya juga, Muhyiddin membangkitkan kebimbangan mengenai ketidaksamarataan dengan menyatakan banyak kes kemiskinan datang daripada sistem yang tidak adil.
Institusi Asia baharu, katanya, harus diwujudkan untuk membantu menyeimbangkan kesamarataan.
Dengan optimis, Muhyiddin berkata, abad terbesar boleh berada di hadapan dan bukannya di belakang.
#Muhyiddin Yassin #KDNK #Tokyo #Asia #Perdana Menteri #ekonomi #COVID-19 #pandemik #vaksin
;