Persidangan AS-ASEAN: Malaysia dijangka bertegas mengenai perairan Laut China Selatan - Penganalisis

Firdaus Azil
Mei 11, 2022 18:37 MYT
Perdana Menteri dijangka menegaskan pendirian Malaysian agar Amerika Syarikat dan China tidak akan menggunakan perairan Laut China Selatan untuk menempatkan kapal perang masing-masing dalam Persidangan Khas AS-ASEAN di Washington. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka bertegas dengan pendiriannya agar Amerika Syarikat (AS) dan China tidak akan menggunakan perairan Laut China Selatan untuk menempatkan kapal perang masing-masing.
Profesor Penyelidikan Universiti Sunway, Prof Woo Wing Thye berkata, perkara itu berkemungkinan akan disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sewaktu Persidangan Khas AS-ASEAN di Washington.
Menurut beliau, Malaysia juga akan cuba meyakinkan ASEAN untuk berbuat perkara yang sama iaitu tidak membenarkan sebarang konflik senjata di perairan Laut China Selatan yang dikongsi oleh beberapa negara serantau.
“ASEAN perlu terus neutral dalam perkembangan konflik antara Amerika Syarikat dan China. Untuk ASEAN terus menjadi neutral, kita tidak mahu peluasan kem tentera China di Laut China Selatan dan pada masa yang sama kita tidak mahu tentera AS terus kekal berada di perairan ini,” katanya dalam wawancara bersama Astro AWANI hari ini.
Selain itu, Wing Thye berkata, Malaysia juga akan turut menyuarakan pandangan mengenai konflik
pentabdiran di Myanmar serta kesan peperangan antara Ukraine dan Russia terhadap rantau ini.
Mengenai konflik di Myanmar, beliau berkata, setakat ini hanya Malaysia dan Indonesia yang bertegas agar demokrasi dikembalikan di negara itu.
“Seperti mana Indonesia sebelum ini bertegas untuk pengembalian demokrasi di Myanmar, Malaysia juga berharap ASEAN dapat terus berhubung dengan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) yang dianggotai oleh kebanyakkan ahli daripada pihak Aung San Suu Kyi.
“Bagaimanapun, negara seperti Kemboja dan Laos mungkin tidak akan mengikuti langkah yang dicadangkan Indonesia dan Malaysia. Saya tidak melihat bagaimana ASEAN boleh mencapai konsensus untuk lebih menekan Myanmar,” katanya lagi.
Berkongsi pendapat berhubung konflik Rusia-Ukraine, Wing Thye berkata, Malaysia akan turut menyuarakan pandangan agar peperangan itu dihentikan, namun, tidak akan lebih daripada itu.
“Malaysia memang menyokong resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2 Mac lepas yang mengutuk pencerobohan ke atas Ukraine, tetapi saya tidak rasa Malaysia akan berbuat tindakan yang lebih keras seperti contohnya menyekat perdagangan dengan Rusia atau menghalang penerbangan Aeroflot ke Kuala Lumpur.
“Dalam erti kata lain, kita akan menjarakkan konflik peperangan daripada hubungan bilateral antara Malaysia dan Rusia,” katanya lagi.
#AS-ASEAN #persidangan khas #ismail sabri yaakob #Laut China Selatan
;