Persiapan pembukaan semula kedutaan, delegasi Iran tiba di Riyadh

Agensi
April 12, 2023 22:59 MYT
Delegasi Iran akan mengambil langkah diperlukan untuk membuka semula kedutaan di Riyadh dan konsulat jeneral di Jeddah serta aktiviti wakil tetap Iran di Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).- Reuters
RIYADH: Sekumpulan delegasi Iran dilaporkan tiba di Riyadh pada Rabu sebagai persediaan membuka semula kedutaan dan konsulat Iran di Arab Saudi.
Memetik Arab News, jurucakap kementerian luar Iran, Nasser Kanaani, dalam satu kenyataan memberitahu ketibaan kumpulan delegasi disambut oleh pegawai Arab Saudi.
"Selaras dengan pelaksanaan perjanjian antara Iran dan Arab Saudi mengenai pengulangan aktiviti diplomatik... delegasi teknikal Iran tiba di Riyadh pada tengah hari Rabu dan diterima oleh pegawai Saudi," katanya mengesahkan berita ini.
Dalam pada itu, delegasi Iran akan mengambil langkah diperlukan untuk membuka semula kedutaan di Riyadh dan konsulat jeneral di Jeddah serta aktiviti wakil tetap Iran di Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Pengumuman dikeluarkan hanya beberapa hari selepas sebuah delegasi Saudi membuat lawatan serupa ke ibu negara Iran.
Ia disusuli pertemuan bersejarah di China antara menteri luar kedua-dua negara yang berjanji untuk membawa kestabilan kepada rantau yang bergolak ini.
#Kementerian Luar #Iran #nasser kanaani #Pertubuhan Kerjasama Islam OIC #Arab Saudi
;