Persekutuan Perlindungan Warisan Kebudayaan Asia ditubuhkan
Bernama
April 25, 2023 04:15 MYT
April 25, 2023 04:15 MYT
BEIJING: Presiden China, Xi Jinping, menzahirkan upacan tahniah kepada sidang Persekutuan Perlindungan Kebudayaan Asia menerusi sepucuk surat awal pagi Selasa.
Menurut beliau, Asia merupakan satu daripada tempat asal usul yang penting dalam tamadun manusia.
Pada 2019, beliau mengeluarkan inisiatif untuk melaksanakan tindakan perlindungan terhadap warisan kebudayaan Asia dalam Sidang Dialog Tamadun Asia.
Sepanjang tempoh itu, pelbagai pihak berusaha menjalankan kerjasama substantif dalam bidang penyelidikan tamadun purba, arkeologi, pemuliharaan tapak kuno dan interaksi muzium, sekali gus memberi sumbangan baharu Asia dalam perlindungan tamadun manusia.
Xi berkata penubuhan persekutuan itu akan membawa manfaat bagi meningkatkan perlindungan warisan kebudayaan Asia, mengintensifkan interaksi tamadun Asia, memakmurkan kepelbagaian tamadun dunia dan menyumbang tenaga bagi kemajuan tamadun manusia.
"China bersedia bersama-sama dengan negara Asia untuk terus mempergiat pertukaran pengalaman dalam perlindungan warisan kebudayaan, mendorong kerjasama antarabangsa dalam bidang warisan kebudayaan, membentuk jaringan kerjasama dialog tamadun global, meningkatkan persefahaman dalam kalangan rakyat supaya mendorong kemajuan dan pembangunan tamadun manusia," kata beliau.
Sidang Persekutuan Perlindungan Warisan Kebudayaan Asia anjuran bersama Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan China, Jabatan Artifak Negara dan kerajaan provinsi Shaanxi telah dirasmikan di bandar Xi'an pagi Selasa.
Sidang kali ini disertai 21 buah negara Asia dan tiga pertubuhan antarabangsa utama dalam bidang warisan kebudayaan termasuk UNESCO, Pusat Perlindungan dan Pembaikpulihan Harta Benda Kebudayaan Antarabangsa (ICCROM) dan Tabung Antarabangsa Perlindungan Warisan Kebudayaan Terancam.
Pada hari yang sama, Deklarasi Xi'an Persekutuan Perlindungan Warisan Kebudayaan Asia akan diumumkan manakala Pusat Penyelidikan Kerjasama Arkeologi Jalan Sutera akan turut dibuka.
Selain itu, hampir 10 perbincangan bilateral dan pameran pencapaian tindakan perlindungan warisan kebudayaan Asia akan diadakan sempena sidang kali ini.
-- BERNAMA