Persaingan tidak seharusnya bertukar menjadi konflik, kata Joe Biden kepada Xi Jinping

Agensi
November 15, 2023 06:00 MYT
Presiden Joe Biden (kiri) berjabat tangan dengan Presiden Xi Jinping pada pertemuan yang berlangsung di San Francisco, Amerika Syarikat pada Rabu. - Gambar REUTERS
SAN FRANCISCO: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menegaskan, adalah penting bagi beliau dan rakan sejawatannya dari China, Xi Jinping untuk memahami antara satu sama lain dengan lebih terbuka sebaik kedua-dua pemimpin itu memulakan persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).
Menerima kehadiran Xi dan delegasi ke AS, kata Biden, merupakan satu penghormatan dan kegembiraan buat beliau.
Biden turut menyebut, kali terakhir mereka bertemu ialah setahun lalu di persidangan G-20 di Bali, Indonesia dan beliau menekankan kepentingan pertemuan secara bersemuka.
"Saya fikir, amat penting bagi anda dan saya memahami satu sama lain secara jelas sebagai pemimpin kepada pemimpin, tanpa sebarang salah faham atau kesilapan komunikasi," kata Biden kepada Xi semasa persidangan bermula.
Menurut Biden, dalam konteks hubungan juga, pertandingan yang berlaku antara AS dan China tidak boleh menuju kepada konflik, sambil menambah, pertemuan-pertemuan terdahulu beliau dengan Xi adalah berteraskan "terus-terang, terbuka dan bermanfaat."
"Kita sudah kenal satu sama lain untuk waktu yang lama. Tiada cara lain yang lebih penting berbanding dengan perbincangan secara bersemuka. Kita tidak selalu bersetuju dan saya sentiasa mendapati perbincangan kami berlangsung secara terus-terang dan jujur,” jelas Biden lagi.
Dalam masa sama, Biden berkata, setiap pemimpin mempunyai tanggungjawab kepada penduduk mereka untuk bekerjasama termasuk dalam isu-isu perubahan iklim, mencegah pengedaran dadah dan pendekatan terhadap kecerdasan buatan.
Antara isu yang dijangka disentuh dalam pertemuan kedua-dua mereka termasuklah pemulihan komunikasi ketenteraan antara kedua-dua negara, konflik di Israel dan Ukraine serta perubahan iklim serta mencegah pengedaran dadah.
Pertemuan antara dua pemimpin dunia itu menjadi tumpuan memandangkan ini merupakan kali kedua dalam tempoh setahun Biden dan Xi mengadakan pertemuan empat mata.
Bahkan, ini juga merupakan kunjungan kali pertama Xi ke AS dalam tempoh enam tahun.
Dalam ucapannya, Xi mengenang kembali kenangan pertemuan beliau dengan Bidem.
"Datang ke sini (AS) membuatkan saya teringat tentang lawatan anda ke China ketika saya menjawat jawatan Naib Presiden China. Kami pernah bertemu. Ia adalah 12 tahun yang lalu," kata Xi.
"Saya masih ingat interaksi kami dengan sangat jelas dan ia sentiasa membuatkan saya banyak berfikir."
Ketika Biden bertugas sebagai Naib Presiden, beliau pernah menjadi wakil AS untuk mengukur suhu politik Naib Presiden China yang baharu.
Pada masa itu, sangat jelas kepada pegawai-pegawai pentadbiran Barrack Obama bahawa Xi bersedia untuk menjadi Presiden China.
Namun begitu, satu hal yang tidak dapat diramalkan pentadbiran AS ketika itu ialah Biden juga akan menjadi Presiden 12 tahun kemudian. - Agensi
#Joe Biden #Xi Jinping #Amerika Syarikat dan China #Joe Biden jumpa Xi Jinping
;