Persaingan sengit Kongres AS, tiada parti dijangka raih majoriti besar - Laporan

Bernama
November 5, 2024 12:15 MYT
Pilihan raya 2024 dijadual berlangsung pada Selasa, 5 Nov, dengan rakyat Amerika mengundi untuk memilih presiden, Kongres dan beberapa kerajaan negeri serta tempatan. - Gambar fail
ISTANBUL: Parti Demokrat dan Republikan dijangka tidak memperoleh majoriti besar dalam Kongres semasa pilihan raya legislatif pada Selasa, lapor Agensi Berita Anadolu memetik laporan media tempatan.
Di Dewan Perwakilan, terdapat kemungkinan parti majoriti akan mempunyai margin yang lebih tipis berbanding dengan kedudukan semasa 220-212, termasuk tiga kekosongan, menurut perkhidmatan berita Washington State Standard.
Pakar memberi amaran bahawa pengiraan penuh mungkin mengambil masa tambahan selepas malam pilihan raya untuk menentukan parti mana yang akan menguasai Dewan.
Pemimpin Senat turut memberi tumpuan kepada persaingan sengit di negeri-negeri seperti Arizona, Michigan, Montana, Nevada, Ohio, Pennsylvania, dan Wisconsin.
Parti Republikan dilihat berpotensi merebut kerusi di West Virginia yang disandang oleh Senator Joe Manchin, dan pada masa yang sama mengekalkan kawalan ke atas kerusi penyandang mereka yang lain (Ted Cruz di Texas, Deb Fischer di Nebraska, dan Rick Scott di Florida), maka mereka mungkin akan memperoleh lebih daripada 50 kerusi di Senat.
Jika Demokrat berjaya mengekalkan 50 kerusi, penguasaan Senat boleh ditentukan oleh undi Naib Presiden, dan sebarang tambahan kerusi menjadi sangat berharga bagi mana-mana parti untuk memperoleh atau mengekalkan kuasa.
Keputusan di Dewan Perwakilan dan Senat akan memberi kesan signifikan terhadap haluan negara, termasuk potensi usaha Parti Republikan untuk merombak semula Obamacare, menangani bahagian undang-undang cukai 2017 yang akan tamat tempoh, dan mengelakkan kemungkinan kegagalan membayar hutang negara.
Penganalisis politik Star Sports, William Kedjanyi, memberitahu Newsweek, "Parti Republikan mungkin mempunyai lebih banyak untuk diraikan minggu depan, dengan prospek untuk menguasai Senat dan mengekalkan majoriti mereka di Dewan Perwakilan."
Jurucakap Betfair, Sam Rosbottom, bersetuju bahawa Parti Republikan mempunyai peluang lebih besar berbanding Demokrat untuk mencapai kemenangan mutlak.
Menurut laporan Cook Political Report, hanya 43 persaingan dianggap kompetitif, berdasarkan faktor seperti calon, keputusan pilihan raya lalu, iklim politik tempatan, dan penyelidikan lain, lapor The Washington Post.
Demokrat hanya perlu memperoleh beberapa kerusi tambahan untuk merampas semula majoriti.
Banyak persaingan kritikal terletak di negeri seperti Pennsylvania dan Michigan, dengan peratusan keluar mengundi bagi pilihan raya presiden boleh mempengaruhi siapa yang menguasai Dewan.
Kira-kira separuh daerah yang perlu dipertahankan oleh Republikan berada di negeri-negeri yang majoritinya liberal seperti California dan New York, di mana mereka menang tipis pada 2022.
Ketika ini, Demokrat menguasai jawatan presiden dan Senat, dengan 51 senator yang berpihak kepada parti berbanding 49 Republikan. Namun, mereka kehilangan kawalan Dewan dalam pilihan raya pertengahan penggal 2022, di mana Republikan kini memegang 220 kerusi berbanding 212 kerusi Demokrat.
Pilihan raya 2024 dijadual berlangsung pada Selasa, 5 Nov, dengan rakyat Amerika mengundi untuk memilih presiden, Kongres dan beberapa kerajaan negeri serta tempatan.
Arizona, Georgia, Michigan, Nevada, North Carolina, Pennsylvania, dan Wisconsin merupakan tujuh negeri utama atau "swing states" dalam pilihan raya ini.
Naib Presiden dan calon Demokrat Kamala Harris serta bekas Presiden dan calon Republikan Donald Trump masing-masing telah menghabiskan banyak masa berkempen di negeri-negeri ini.
-- BERNAMA
#Amerika Syarikat #pilihan raya #Donald Trump #Kamala Harris
;