Persaingan AS-China: Malaysia perlu teruskan dasar neutralisasi
Nursyazwani Saiful Sham
April 7, 2022 09:39 MYT
April 7, 2022 09:39 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia harus meneruskan dasar neutralisasi dan tidak mengambil tindakan bersendirian dalam menangani isu persaingan antara dua kuasa besar dunia, Amerika Syarikat dan China.
Sebaliknya menurut Bekas Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan, Malaysia harus menggunakan platform ASEAN untuk membawa suara di dasar antarabangsa.
"Dalam isu persaingan antara Amerika Syarikat dan China, kita (Malaysia) harus meneruskan dasar neutralisasi atau dasar berkecuali dan harus bertindak bukan bersendirian.
"Tetapi kita perlu melalui ASEAN kerana ia menguatkan lagi suara Malaysia di medan dasar antarabangsa. ASEAN juga berperanan untuk menguruskan seberapa yang boleh bagi kedudukan, kestabilan dan kemakmuran di rantau Asia Pasifik.
"Malah melalui Forum Serantau ASEAN yang mana ahlinya termasuk AS, China, Rusia dan kuasa-kuasa besar lain juga bermatlamat untuk menguruskan konflik, perbezaan dan keselamatan di rantau ini," jelasnya.
Beliau berkata demikian menerusi program AWANI Pagi yang membincangkan topik 'Persaingan AS-China: Di mana Malaysia?' pada Rabu.
Malah, beliau berpendapat persaingan antara kuasa besar dunia itu membimbangkan dan tanggungjawab masyarakat dunia ketika ini adalah membentuk arus agar perselisihan tersebut reda.
Faktor-faktor yang membangkitkan persaingan ini termasuk faktor sejarah, ideologi, persaingan, perdagangan, ekonomi dan keselamatan.
Jelasnya, ketika ini faktor utama adalah ideologi yang dibangkitkan oleh AS untuk menekan China apatah lagi selepas China dilaporkan akan menjadi kuasa besar dunia menjelang 2050.
Melihat kepada prospek jangka masa panjang, adalah penting, katanya, agar kedua-dua negara besar ini bekerjasama menangani isu yang lebih besar dan memimpin negara-negara lain.
“Ketika ini persaingan antara AS dan China adalah sangat membimbangkan sekiranya kedua-dua negara besar ini masih lagi bersaing secara negatif dan tidak secara bekejersama.
“Seharusnya kedua-dua negara besar ini bekerjasama memimpin dunia, memimpin negara lain secara aman, positif dan konstruktif dalam semua bidang termasuk hal-hal kritikal, misalnya perubahan iklim, dan ketika ini COVID-19 serta perkembangan ekonomi,” katanya.