Perpindahan penduduk ke bandar di Indonesia dijangka capai 1 juta

Bernama
Ogos 12, 2013 07:22 MYT
Perpindahan penduduk desa ke bandar-bandar besar di seluruh Indonesia selepas sambutan Aidilfitri tahun ini dijangka melibatkan kira-kira sejuta orang, kata Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Muhaimin Iskandar.
Mereka dijangka menuju bandar besar seperti Jakarta, Bandung, Surabaya, Semarang, Medan dan Batam untuk mencari kerja dan perkara itu harus diberi perhatian agar tidak menimbulkan masalah sosial dan pengangguran yang semakin tinggi di kawasan bandar.
Bagi menghadapi keadaan itu kerajaan Indonesia telah menyiapkan beberapa penyelesaian agar arus urbanisasi ke bandar-bandar tidak menimbulkan masalah baharu dan menambah beban dalam usaha mengatasi pengangguran dan kemiskinan, kata Muhaimin di sini, pada Isnin.
"Kita terus mendorong agar otonomi daerah boleh menjadi salah satu penyelesaian masalah urbanisasi ini. Otonomi daerah harus berhasil mengembangkan pusat-pusat pertumbuhan dan meningkatkan pembangunan di desa dan bandar-bandar kecil agar penduduk tidak harus pergi ke bandar," katanya.
Kementerian itu, katanya bekerjasama dengan kerajaan-kerajaan negeri yang diminta untuk meningkatkan rancangan yang boleh mencipta peluang kerja di wilayah masing-masing melalui pelaburan dan pembangunan infrastruktur sehingga mampu menyerap tenaga kerja.
Kerajaan-kerajaan negeri juga didorong melaksanakan program alternatif seperti keusahawanan dan penerapan teknologi serba guna untuk menyokong pembangunan ekonomi di semua kawasan di Indonesia.
#bandar #Indonesia #pindah
;