Perpaduan, kesepakatan faktor utama dalam aktiviti ASEAN

Bernama
Februari 18, 2022 16:19 MYT
Negara anggota perlu menetapkan keamanan dan kestabilan sebagai sasaran mereka, menerusi mekanisme dialog dan kerjasama.
PHNOM PENH: Para Menteri Luar yang menghadiri Pemukiman Menteri Luar ASEAN (AMMR) berkongsi pandangan bahawa perpaduan dan kesepakatan kekal sebagai faktor utama dalam aktiviti blok itu, lapor agensi berita Vietnam (VNA).
Pemangku Ketua Delegasi Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM) Vietnam, Vu Ho semasa bercakap kepada akhbar dipetik berkata, para menteri ASEAN membincangkan semua cabaran yang dihadapi blok itu secara terbuka dan jujur serta mengenal pasti orientasi kerjasama untuk tindak balas yang berjaya.
Mereka merumuskan bahawa perpaduan dan kesepakatan kekal sebagai faktor utama dalam aktiviti ASEAN, menyeru negara-negara untuk menetapkan keamanan dan kestabilan sebagai sasaran mereka, menerusi mekanisme dialog dan kerjasama.
AMMR dua hari yang berakhir pada 17 Februari diadakan secara bersemuka dan dalam talian.
Ia juga merupakan pertemuan bersemuka pertama di kalangan menteri luar ASEAN selepas tertangguh akibat pandemik COVID-19.
Ho berkata, Menteri Luar Vietnam Bui Thanh Son yang mengetuai delegasi Vietnam mencadangkan inisiatif seperti pengiktirafan bersama sijil vaksinasi di rantau ini, penggunaan berkesan Dana ASEAN untuk Respons COVID-19, dan usaha berterusan untuk merapatkan jurang pembangunan dalam ASEAN melalui kerjasama serantau.
Menurut VNA, Ho berkata peserta AMMR juga bersetuju untuk membuat satu kenyataan bersama menandakan ulang tahun ke-20 Deklarasi Tatalaku Pihak-pihak di Laut Timur (Laut China Selatan) (DOC), sekali gus menegaskan semula keazaman blok itu untuk membangunkan Laut Timur menjadi lautan keamanan dan kerjasama yang membenarkan kapal lalu dengan bebas dan selamat, dan negara boleh mengadakan dialog secara terbuka dan jujur serta kerjasama yang ikhlas berkenaan dengan undang-undang antarabangsa, termasuk UNCLOS 1982.
Mengenai situasi Myanmar, kenyataan itu menyebut Son mengesahkan negara itu adalah ahli "keluarga ASEAN", dan isu dalaman akan diputuskan oleh rakyatnya.
Son mengesyorkan bahawa melalui pelaksanaan Konsensus Lima Perkara yang diterima pakai oleh pemimpin ASEAN pada April, blok itu dan Myanmar melaksanakan kerjasama dan rasa tanggungjawab mereka terhadap masyarakat, membantu duta khas Pengerusi ASEAN untuk melaksanakan tugas, dan memudahkan pihak yang berkaitan dalam mencari penyelesaian kepada perbezaan dan pertikaian sedia ada, tambah kenyataan itu.
-- BERNAMA
#perpaduan #ASEAN #kerjasama #keamanan
;