Perompak pulang semula wang selepas lihat baki akaun mangsa
Agensi
Mac 12, 2019 18:49 MYT
Mac 12, 2019 18:49 MYT
SEORANG perompak ‘bersifat mulia’ apabila mengembalikan semula wang yang dicuri setelah melihat baki akaun bank mangsa.
Kejadian berlaku di Heyuan, China di mana seorang wanita bernama Li sedang mengeluarkan wang dari mesin ATM sebelum didatangi seorang lelaki yang cuba merompak beliau.
Li yang ketakutan menyerahkan kesemua wang yang dikeluarkan bernilai RM1,520 kepada lelaki itu.
Bagaimanapun, perompak yang tidak bertopeng itu bersungguh-sungguh mahu melihat baki akaun Li.
Selepas Li menunjukkan baki akaunnya yang tiada wang, lelaki itu segera memulangkan kembali wang Li sebelum meninggalkan bank berkenaan.
Rakaman aksi lelaki berkenaan tersebar di China dan lelaki berkenaan disifatkan ‘pencuri mulia’ dan mendapat pujian netizen di negara itu.
Pihak polis bagaimanapun berjaya menahan lelaki itu berdasarkan rakaman kamera litar tertutup.