Perolehan dagangan Rusia-China catat rekod baharu AS$240 bilion

Bernama
Mei 16, 2024 17:37 MYT
Putin berkata, jumlah perdagangan keseluruhan secara tepat mencerminkan hubungan ekonomi yang kukuh antara kedua-dua negara. - Reuters
MOSCOW: Perolehan dagangan Rusia-China telah merekodkan pencapaian baharu, mencecah AS$240 bilion, kata Presiden Rusia Vladimir Putin pada Khamis, lapor Agensi Anadolu.
Bercakap pada sidang akhbar di Beijing selepas pertemuan dengan Presiden China Xi Jinping, Putin berkata walaupun terdapat sedikit percanggahan dalam angka yang dilaporkan oleh Rusia dan China, jumlah perdagangan keseluruhan secara tepat mencerminkan hubungan ekonomi yang kukuh antara kedua-dua negara.
Rusia dan China mempunyai rancangan konkrit untuk meningkatkan kerjasama dalam sektor tenaga, katanya.
Sebagai tindak balas kepada sekatan Barat, Putin berkata Rusia berhasrat meningkatkan kerjasama dengan China dalam industri automotif dan perkakas rumah.
Kedua-dua negara juga telah mengambil langkah-langkah untuk melindungi perdagangan dan pelaburan dua hala mereka daripada sekatan luar, dengan sektor kewangan terutamanya dilindungi daripada sebarang kesan buruk, katanya, menekankan kepentingan kerjasama yang lebih erat antara bank.
Mengenai lawatannya ke China, Putin menekankan kepentingannya, dengan menyatakan kedua-dua implikasi simbolik dan praktikalnya. Agenda lawatan itu luas dan mencerminkan kedalaman hubungan antara Rusia dan China, katanya.
Putin dan Xi juga menandatangani kenyataan bersama untuk mengukuhkan perkongsian strategik bagi "era baharu" ketika kedua-dua negara itu meraikan ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik.
-- BERNAMA
#perdagangan #Rusia #China #Vladimir Putin #Xi Jinping
;