Perogol ugut bunuh, noda gadis 13 tahun hingga lahir bayi

Sinar Harian
Jun 6, 2024 09:40 MYT
Pelaku, yang mengakui melakukan perbuatan itu, akan didakwa di bawah undang-undang Fasal 81 UU Nombor 23 Tahun 2002. - Foto Sinar Harian/Agensi
JAKARTA: Seorang lelaki ditahan polis pada Selasa atas dakwaan memperkosa seorang remaja berusia 13 tahun hingga melahirkan bayi.
Malah lebih menyayat hati apabila bayi itu dibuang kerana remaja terbabit tidak pandai menguruskannya.
Menurut polis, peristiwa malang itu bermula pada Mei 2023, apabila pelaku menemui mangsa yang dikenali sebagai A, lalu mengajaknya ke sebuah rumah kosong kemudian memperkosanya.
"Selepas pertama kali dia diperkosa, pelaku mengancam mangsa supaya tidak memberitahu kejadian itu kepada sesiapa, jika tidak dia akan dibunuh.
"Bukan sekali dia diperkosa malah sekurang-kurangnya lapan kali pada 2023," kata ketua polis OKI AKBP, Hendrawan Susanto pada Selasa.
Difahamkan mangsa melahirkan bayinya pada 10 Mei lalu dan memutuskan untuk membuang bayinya di kawasan rumah penduduk di Desa Suka Mulya, Kecamatan Lempuing, Ogan Komering Ilir.
Bagaimanapun, bayi lelaki itu selamat setelah seorang penduduk kampung menemuinya dan telah melaporkan kejadian itu kepada polis.
Pelaku, yang mengakui melakukan perbuatan itu, akan didakwa di bawah undang-undang Fasal 81 UU Nombor 23 Tahun 2002 tentang perlindungan anak, dan jika disabitkan kesalahan dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun. - Sinar Harian memetik agensi
#rogol #remaja #bayi #bunuh
;