Pernah ke rumah urut di Jakarta? Awas! identiti anda mungkin akan didedah
Shafizan Johari
November 1, 2017 18:34 MYT
November 1, 2017 18:34 MYT
SEORANG ahli politik kanan Indonesia mahu maklumat pelanggan sebuah pusat hiburan di hotel ternama yang dilaporkan menjalankan aktiviti terlarang termasuk pelacuran di ibu kota Jakarta, didedah dan dikongsikan kepada umum.
CNN Indonesia melaporkan, Naib Ketua Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia Taufik Kurniawan telah mendesak Hotel Alexis untuk mendedahkan data pelanggannya yang pernah berkunjung ke premis berkenaan setelah banyak mendapat aduan berkenaan aktiviti tidak bermoral itu.
Menurutnya, masyarakat perlu tahu siapakah individu yang pernah berkunjung ke pusat hiburan itu, sebagai satu pengajaran kepada semua.
Beliau berpendapat langkah itu juga penting bagi mengenal pasti siapa sebenarnya yang bersikap ‘munafik’ dengan keputusan pihak berkuasa Jakarta untuk menghentikan lesen operasi Hotel Alexis.
Tidak cukup sekadar itu, Taufik juga meminta Alexis mendedahkan semua rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) berkenaan identiti pelanggannya.
Keizinan bagi Alexis untuk beroperasi telahpun ditamatkan pada 27 Oktober lalu.
Namun Hotel terbabit yang beroperasi menggunakan lesen hotel dan pusat hiburan menafikan ada menjalankan aktiviti yang terlarang seperti dilaporkan oleh media republik itu, malah bersedia untuk bekerjasama bagi membolehkan ia beroperasi semula.
Selain menjadi tempat penginapan dan hiburan, Alexis juga dikatakan terkenal bagi mereka yang gemarkan perkhidmatan berurut dan sering dikunjungi pelanggan antarabangsa termasuk dari Malaysia.
#ahok
#Alexis
#CCTV
#Dewan Perwakilan Rakyat
#DPR
#hotel
#Hotel Alexis
#Indonesia
#Jakarta
#pelacuran
#politik
#rumah urut
#Taufik Kurniawan
#urut