Pernah dianggap hilang selamanya, bangkai kapal 130 tahun ditemui

Agensi
Mac 6, 2022 12:00 MYT
Kapal itu ditemui pada kedalaman 650 kaki di bawah permukaan tasik. - YouTube GLShipwreckSociety
PERNAH dianggap hilang selama-lamanya, bangkai kapal Atlanta yang berusia 130 tahun akhirnya ditemui di dasar Tasik Superior.
Terletak 56 kilometer dari Deer Park, Michigan, kapal itu ditemui pada kedalaman 650 kaki (198 meter) di bawah permukaan tasik, menurut Persatuan Sejarah Kapal Karam Great Lakes (GLSHS), yang mengumumkan penemuannya Khamis, lalu.
Ia ditemui selepas pasukan penyelidik dengan kerjasama Marine Sonic Technology menggunakan teknologi sonar untuk memetakan lebih 2,500 batu Tasik Superior, pada musim panas 2021.
Kini masa untuk pasukan penyelidik memberikan konteks tentang penemuan bangkai kapal itu, kata Corey Adkins, Pengarah Komunikasi dan Kandungan GLSHS kepada portal CNN.
Membawa muatan arang batu, Atlanta tenggelam semasa ribut pada 4 Mei 1891.
Seramai tujuh orang kru kapal berjaya diselamatkan bot penyelamat dan mengambil masa selama berjam-jam sebelum tiba di Stesen Penyelamat Crisp Point.
Namun ketika bot penyelamat untuk cuba mendarat, ia terbalik dan hanya dua kru selamat sampai.
Menurut Bruce Lynn, Pengarah Eksekutif GLSHS, bangkai kapal yang masih dalam keadaan baik dan boleh dikenal pasti dengan jelas selepas lebih 100 tahun adalah amat jarang berlaku.
Bangkai kapal itu dikatakan terpelihara dengan baik kerana air Tasik Superior yang sejuk.
"Ia benar-benar mengkagumkan dan masih cantik selepas 130 tahun di dasar tasik," kata Lynn dalam satu kenyataan.
Tasik Superior merupakan tasik air tawar terbesar di dunia jika dikira berdasarkan luas permukaannya (lebih 82,100 kilometer persegi), namun bukan yang terbesar dari kiraan isipadu air. Bahagian selatan Tasik Superior mencecah sempadan Michigan, Wisconsin dan Minnesota di Amerika Syarikat, namun bahagian utaranya berada dalam sempadan Ontario, Kanada.
#kapal #karam #kapal Atlanta #Tasik Superior
;