Permohonan bagi sijil Pilihan Raya Presiden S'pura 2017 dibuka esok

Bernama
Mei 31, 2017 15:43 MYT
Di Singapura, Presiden sebagai Ketua Negara akan memegang jawatan untuk tempoh enam tahun dan beliau mempunyai dua peranan penting termasuk sebagai simbol dan penyatuan Singapura yang terdiri daripada pelbagai kaum. - Gambar hiasan
Permohonan bagi sijil Pilihan Raya Presiden 2017 akan dibuka pada 1 Jun, Channel News Asia melaporkan dengan memetik Jabatan Pilihan Raya Singapura (ELD) hari ini.
Laporan itu berkata permohonan akan ditutup lima hari selepas writ pilihan raya dikeluarkan pada Ogos menjelang pilihan raya pada September.
Pemohon akan dimaklumkan mengenai keputusan sebelum Hari Penamaan calon, menurut laporan.
Menurut laporan, borang permohonan calon yang berjaya akan dimaklumkan kepada umum selepas prosiding pencalonan ditutup selaras dengan syor-syor Suruhanjaya Perlembagaan.
Oleh kerana Pilihan Raya Presiden tahun ini dikhaskan untuk calon Melayu, bakal calon perlu memohon kepada Jawatankuasa Komuniti bagi memperoleh sijil perakuan komuniti Melayu.
Jawatankuasa kecil Komuniti Melayu, dipengerusikan oleh bekas Ahli Parlimen yang Dilantik, Imram Mohamed, kemudian akan menilai permohonan.
Laporan itu berkata, pindaan pada perundangan subsidiari akan dilakukan berikutan pindaan kepada Perlembagaan pada Nov 2016 dan Akta Pilihan Raya Presiden pada Februari tahun ini.
Ini berkuatkuasa esok, kata laporan itu.
Di bawah perlembagaan tersebut, untuk menentukan sama ada calon presiden yang berpotensi tergolong dalam komuniti Melayu, jawatankuasa kecil mungkin menemubual beliau, meminta beliau memberi maklumat lanjut dan merujuk kepada mana-mana orang.
Keputusan jawatankuasa kecil adalah muktamad, ELD dipetik sebagai berkata.
Pindaan perundangan lain termasuk semakan kertas penamaan calon untuk memasukkan akuan berkanun bahawa bakal calon telah membaca bahan penjelasan Presiden dan memahami peranan Presiden di bawah Perlembagaan.
"Ini adalah supaya calon tidak mengeluarkan kenyataan atau membuat janji yang melangkaui peranan Presiden seperti ditetapkan di bawah perlembagaan," kata ELD.
Presiden Singapura sebagai Ketua Negara akan memegang jawatan untuk tempoh enam tahun dan Presiden mempunyai dua peranan penting termasuk sebagai simbol dan penyatuan Singapura yang terdiri daripada berlainan dan pelbagai kaum.
Pilihan Raya Presiden Singapura yang kali pertama diadakan pada 28 Ogos, 1993, pada umumnya dibuka kepada balon calon dari semua kaum.
Bagaimanapun, untuk memastikan representasi berbilang kaum dalam Presidensi, pilihan raya bagi jawatan Presiden akan dikhaskan untuk komuniti tertentu (komuniti Cina, Melayu atau India dan kaum minoriti lain) jika tiada calon tergolong dalam komuniti tersebut telah menyandang jawatan Presiden bagi mana-mana 5 penggal yang terbaru ini.
Ketua Negara Singapura yang pertama ialah Allahyarham Yusof Ishak, memegang jawatan dari 1965 hingga 1970 dan penyandang Presiden Tony Tan Keng Yam yang akan menamatkan tempoh penggalnya pada 31 Ogos, 2017.
-- BERNAMA
#Jabatan Pilihan Raya Singapura #Jawatankuasa kecil Komuniti Melayu #pilihan raya presiden #sijil #Singapura