Permintaan terhadap 'bunker' mewah perlindungan bom melonjak
Agensi
Mac 15, 2022 14:31 MYT
Mac 15, 2022 14:31 MYT
BERLINDUNG dari ancaman bom dalam keselesaan dan kemewahan. Mungkin kedengarannya agak janggal untuk menyatukan hal darurat keselamatan dengan gaya hidup bercita rasa tinggi dalam satu ayat, namun itulah yang ditawarkan oleh sebuah syarikat.
Semenjak tercetus krisis antara Rusia dan Ukraine, pertanyaan dan permintaan untuk memiliki bunker atau tempat perlindungan bom serba lengkap yang melebihi keperluan asas, turut melonjak.
Keinginan memiliki kubu pertahanan di bawah tanah untuk berlindung dari sebarang bentuk ancaman sebenarnya telah muncul sejak bermulanya pandemik COVID-19.
Ia tercipta dari manifestasi kegelisahan umum untuk menyiapkan diri dengan lebih daripada sekadar memiliki pelitup muka, vaksin, ubat-ubatan dan siren keselamatan.
Ketika kebanyakan orang di dunia bergelut dengan kesulitan dan kekangan untuk menyediakan perkara asas, ada juga tawaran yang direka khusus untuk golongan yang masih mempunyai kuasa membeli.
Artemis Protection yang berpangkalan di Perancis, misalnya, menawarkan bunker perlindungan bom yang mewah pada harga antara AS$300,000 hingga AS$500,000 (mencapai RM2.1 juta) berdasarkan keperluan dan spesifikasi.
Dengan keluasan sehingga 236 kaki persegi, bunker yang direka secara kompak itu dilengkapi ruang tengah, dapur, tempat tidur dan bilik air.
Pengasas syarikat, Mathieu Séranne, memberitahu Business Insider bahawa pihaknya telah menerima sekurang-kurangnya 500 permintaan sebut harga kubu perlindungan itu dalam tempoh dua minggu lalu. Puluhan tempahan juga sudah disahkan.
"Pelanggan kami sanggup melabur ratusan ribu dolar untuk kubu ini kerana naluri asas manusia adalah untuk kelangsungan hidup.
"Apabila orang di seluruh dunia menyaksikan kuasa nuklear bertembung dan berlaku kekejaman, ia menakutkan mereka lantas menyedari bahawa keamanan itu bagai telur di hujung tanduk," ujarnya.
Tambah Séranne, bunker yang sedia digunakan itu seperti sebuah chalet kecil yang didakwanya dapat bertahan daripada impak kejadian besar, di mana-mana sahaja di dunia.
Kira-kira 85 peratus pelanggan Artemis Protection berasal dari Perancis. Selain itu, permintaan turut diterima dari Finland, Sweden, Norway dan Poland yang dekat dengan sempadan Belarusia. Pertanyaan juga datang dari Arab Saudi dan Qatar.
Dalam satu kenyataan pada 9 Mac, Kesatuan Eropah berkata, terdapat kebimbangan tentang isu keselamatan nuklear, keamanan dan risiko kawal selia akibat serangan Rusia ke atas Ukraine.
“Sebarang risiko kerosakan pada prasarana nuklear akan mengakibatkan impak yang signifikan, dengan kemungkinan buruk ke atas kesihatan manusia dan persekitaran,” tambah kenyataan itu.
Mungkin beberapa tahun sebelum ini, ada yang bersikap skeptikal dan rimas tentang cadangan bahawa penduduk di seluruh dunia perlu memakai pelitup muka dan terus menjaga penjarakan fizikal.
Namun sekarang, dalam dunia yang sering tercetus konflik dan tragedi besar yang menuntut kewaspadaan, permintaan terhadap bunker perlindungan bom bukan suatu yang mengejutkan.