Permintaan barang kemas di India susut 48 peratus

Bernama
Oktober 29, 2020 04:57 MYT
Permintaan emas di peringkat dunia juga merosot sebanyak 19 peratus tahun ke tahun kepada 892 tan bagi suku ketiga berikutan ketidaktentuan akibat COVID-19. -Gambar hiasan
NEW DELHI: Permintaan terhadap barang kemas emas di India merosot 48 peratus bagi suku ketiga Julai hingga September lepas berbanding tempoh sama pada 2019 susulan sentimen pengguna yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19.
Kalangan penggunanya juga berdepan sekatan pergerakan serta peningkatan mendadak harga emas yang tidak dijangkakan di India -- pasaran kedua terbesar dunia bagi jongkong emas, demikian menurut Majlis Emas Dunia (WGC) pada Khamis.
Permintaan bagi suku tahun ke tahun itu susut 48 peratus kepada 52.8 tan.
"Walaupun dalam musim tengkujuh yang dilihat lebih positif, keyakinan pengguna sebaliknya masih terus dipengaruhi oleh impak ekonomi akibat pelaksanaan langkah-langkah bagi membendung pandemik itu," kata WGC.
Secara keseluruhannya permintaan emas di India juga susut sebanyak 30 peratus kepada 86.6 tan bagi tempoh Julai hingga September berbanding tempoh sama tahun lepas.
Selain itu, permintaan emas di peringkat dunia juga merosot sebanyak 19 peratus tahun ke tahun kepada 892 tan bagi suku ketiga berikutan ketidaktentuan akibat COVID-19.
-- BERNAMA
#barang kemas #emas #India #COVID-19 #sentimen pengguna #jongkong emas #permintaan emas #pandemik
;