Perlumbaan kuasa di sebalik krisis kesihatan dunia

Hisyam Basabah
Januari 24, 2021 08:41 MYT
Tindakan provokasi atau kebergantungan ekonomi dilihat tidak mampu dikekang oleh mana-mana negara sekalipun Amerika Syarikat sendiri. - Foto Gerd Altmann daripada Pixabay
FAJAR 2021 telah menyinsing sebaik sahaja 2020 melabuhkan tirainya.
Mungkin tahun 2020 akan dikenang sebagai sebuah tahun yang penuh dugaan dan cabaran apabila krisis kesihatan melanda di seluruh belahan dunia melalui pandemik COVID-19.
Tahun 2020 yang baru sahaja berlalu adalah tahun yang sekian lama dicanangkan betapa takah kemajuan dan kemakmuran akan berada di titik paling tinggi.
Ternyata, impian dan cita-cita sebilangan umat manusia di muka bumi ini tidak mampu melawan ketentuan Yang Maha Esa.
Ekonomi setiap negara sama ada kuasa besar mahupun kecil terjejas, sektor perdagangan tidak berjalan dengan lancar, inflasi sesetengah negara mencatatkan peningkatan, pengangguran berleluasa dan boleh dikatakan tidak ada satu pun sektor ekonomi yang terselamat daripada menerima impak yang dicetuskan oleh pandemik COVID-19 ini.
Sehingga kini, dunia masih lagi terkial-kial mengadaptasikan diri dengan suasana krisis ini.
Benar, sebilangan daripada kita menyatakan ia adalah norma baharu, namun itu hanya penyataan positif agar kita termotivasi dalam mengharungi kehidupan yang mendatang.
Namun secara realitinya ia adalah krisis yang terpaksa diterima sebagai suatu perkara yang normal.
Di balik segala kebejatan ekonomi yang mampu meruntuhkan sistem sosial dan politik dunia akibat virus yang dilahirkan melalui rahim negara China ini, China sendiri begitu bernafsu meningkatkan cita-citanya untuk bergelar sebagai negara hegemoni antarabangsa.
Sepanjang krisis kesihatan yang melanda dunia, China telah menjalankan pelbagai langkah mengukuhkan cengkamannya di negara-negara proksi mereka di samping meluaskan pengaruhnya melalui paksaan ke wilayah-wilayah lain khususnya di wilayah kelautan Asia Tenggara.
Tindakan provokasi atau kebergantungan ekonomi dilihat tidak mampu dikekang oleh mana-mana negara sekalipun Amerika Syarikat sendiri.
Pandemik COVID-19 ini ternyata memberikan kesempatan kepada China untuk mengungguli persaingan dalam menuju ke takhta kuasa besar antarabangsa.
Setahun selepas perintah berkurung, kehidupan di Wuhan kembali normal
Pandemik yang sedang bermaharajalela ini semakin mengganas sehingga negara kecil seperti Malaysia juga telah mencatatkan jumlah peningkatan kes jangkitan melebihi 100,000 orang. Ironinya, China sendiri sebagai ‘ibu kandung’ pandemik ini semakin bebas dan kes jangkitan di negara mereka tidak melebihi 90,000 kes ketika artikel ini ditulis.
Adakah benar dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan bahawa virus pandemik ini ciptaan China atau secara semula jadi? Persoalan ini masih lagi menjadi polemik dan tanda tanya.
Jika dahulu persaingan kuasa untuk bergelar sebagai kuasa besar antarabangsa berorientasikan kekuatan ketenteraan ataupun perlumbaan teknologi.
Namun, di sela-sela krisis ini, persaingan tersebut telah bertukar kepada perlumbaan negara-negara maju dalam menghasilkan vaksin yang ampuh dalam menangani kebolehjangkitan virus COVID-19.
Ternyata, krisis kesihatan ini membuka peluang bagi mereka mengaut keuntungan dengan penghasilan berbagai jenis vaksin yang didakwa berkesan dengan harga yang ditetapkan.
Walau bagaimanapun, perlumbaan seumpama ini bukanlah yang pertama di dalam sejarah kerana pada dekad 1950an sehingga 1980-an, perlumbaan antara Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet di dalam lapangan teknologi aeroangkasa mewarnai landskap politik antarabangsa.
Perlumbaan teknologi adalah antara watak utama dalam pengukuhan kuasa politik sesebuah kuasa besar dunia pada ketika itu yang mana Amerika Syarikat mahupun Kesatuan Soviet saling berlumba menghantar manusia ke angkasa lepas selain menghasilkan setelit yang canggih.
Perlumbaan di dalam pembangunan senjata nuklear juga mengambil bahagian dalam dekad-dekad Perang Dingin antara Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet bagi menentukan siapakah di antara kedua-dua kuasa tersebut lebih unggul sebagai kuasa hegemoni antarabangsa.
Sehinggalah pada tahun 1991, Amerika Syarikat mengesahkan status mereka sebagai adikuasa antarabangsa apabila Kesatuan Soviet mengalami keruntuhan.
Persaingan dunia pada masa kini kembali menggelegak apabila China semakin menghampiri kekuatan dan keunggulan Amerika Syarikat.
Maka, krisis kesihatan ini adalah peluang terbaik bagi China membuktikan betapa mereka mempunyai keupayaan melebihi mana-mana negara di dunia termasuk Amerika Syarikat dalam menghasilkan vaksin paling ampuh dalam memerangi pandemik COVID-19 ini.
Sudah tentu amat cocok sekiranya vaksin yang dihasilkan oleh China ini paling mujarab kerana sesungguhnya pandemik ini juga berasal dari negara mereka.
Namun, vaksin-vaksin yang dikeluarkan oleh mana-mana negara setakat ini masih belum mencapai tahap optimum yang seharusnya bagi mencegah penularan pandemik COVID-19 ini.
Syarikat-syarikat yang mengeluarkan vaksin-vaksin seperti Sinovac dari China, Pfizer, Novavax dan Moderna dari Amerika Syarikat, BioNtech dari Jerman, GlaxoSmithKline dari Britain, Sanofi dari Perancis dan lain-lain saling memastikan bahawa vaksin keluaran mereka adalah yang paling mujarab bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 ini daripada terus bermaharajalela, seterusnya mampu meranapkan ekonomi dan sosial dunia.
Sekiranya salah satu syarikat ini mendapat perakuan dunia betapa vaksin keluaran syarikat mereka adalah yang paling berkesan, maka secara tidak langsung ia akan memberi kelebihan dan meningkatkan imej negara tersebut sebagai pemenang kepada perlumbaan menghasilkan vaksin dalam memerangi pandemik ini.
Ia juga petunjuk jelas betapa syarikat dari negara tersebut telah “berjasa” kepada dunia kerana berjaya menghasilkan vaksin yang ampuh.
Segala-galanya adalah peniagaan dan seperti mana yang dinyatakan, di balik krisis kesihatan dunia ini tersimpan 1001 peluang keemasan kepada mana-mana negara untuk muncul pemenang dalam persaingan sebagai sebuah kuasa besar dunia.
Sudah pasti Amerika Syarikat sebagai negara yang paling teruk terjejas dengan pandemik ini pasti mahu segera keluar dari kemelut kesihatan yang mengancam ekonomi dan hegemoni mereka sebagai kuasa besar dunia.
China pula melihat krisis kesihatan ini sebagai peluang keemasan bagi mereka merampas takhta penguasaan Amerika Syarikat, apatah lagi angka rakyat mereka yang dijangkiti adalah sangat kecil jika dibandingkan dengan populasi negara mereka yang mencecah sekitar 1.6 bilion orang.
Sejarah seakan berputar kembali dengan jalan yang sama namun berlainan subjek dan pelakunya. Masyarakat dunia ketika ini sedang sesak dan tenat dengan lingkaran ganas COVID-19 yang semakin tidak terkawal sedangkan beberapa pihak di dunia ini pula sedang memerhatikan dengan begitu bernafsu untuk muncul sebagai pihak yang paling berkuasa di muka bumi ini.
Buat ketika ini, perlumbaan menghasilkan vaksin COVID-19 adalah agenda utama mereka melalui serampang dua mata.
Persatuan Perubatan UK gesa kerajaan pendekkan jurang antara dos vaksin Pfizer
Pertama membantu menghentikan penularan pandemik COVID-19 dan yang kedua adalah muncul sebagai negara yang mengetuai kejayaan menghentikan penularan COVID-19.
Malaysia sebagai salah sebuah negara yang teruk dibadai COVID-19 seharusnya berhati-hati dengan sebarang perjanjian berhubung perkara ini.
Penyertaan Malaysia di dalam COVID-19 Vaccine Global Access (COVAX), sebuah badan antarabangsa mempunyai kemudahan untuk membantu negara membangun mendapatkan vaksin COVID-19 perlu dilakukan dengan sangat teliti.
Kita tidak mahu demi mendapatkan vaksin ini, ada “harga” yang terlampau mahal yang perlu dibayar oleh negara.
Apatah lagi perjanjian dengan China telah dimeterai untuk membangunkan vaksin COVID-19 ini selama 5 tahun.
Segala terma dan syarat perlu diperhalusi dengan sebaiknya, jika tidak negara akan merana kerana sudah menjadi sifat semulajadi negara kuasa besar untuk sentiasa memperkuda dan mempergunakan negara-negara kecil yang sedang tersepit seperti Malaysia.
Semoga Malaysia terus unggul mengaplikasikan kemahiran diplomasi melalui kaedah hedging agar terselamat dari kitaran ganas pandemik COVID-19 dan nafsu jahat negara kuasa besar.

* Hisyam Basabah merupakan penulis bebas dan penganalisis sosial.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

#China #Britain #BioNTech #Pfizer #COVID-19 #pandemik #Amerika Syarikat #Asia #Hisyam Basaabah #Kolumnis AWANI
;