AS perlu terima hakikat, Huawei mendahului produk mereka - Tun Mahathir
Firdaus Azil
Mei 30, 2019 11:25 MYT
Mei 30, 2019 11:25 MYT
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan Amerika Syarikat (AS) perlu menerima hakikat bahawa Huawei kini mendahului produk mereka dari segi teknologi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Dalam satu dialog di Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia anjuran Nikkei Inc di sini hari ini, beliau berkata, negara Uncle Sam itu perlu berusaha memajukan produk mereka agar ia menjadi lebih kompetitif.
Tetapi, tegasnya lagi, bukan dengan cara melarang penjualan barangan Huawei, atau menyiasat mana-mana syarikat atau negara yang didakwa bersekongkol dengan produk China itu, atau sehingga ke tahap menghantar kapal perang.
“Itu merupakan satu ancaman,” katanya dalam sesi selama hampir 20 minit yang dikendalikan Ketua Pengarang Ibu Pejabat Editorial Nikkei Osaka, Sonoko Watanabe.
Dr Mahathir berkata, kesemua pihak perlu sedar AS tidak akan menjadi kuasa utama dunia, serta mempunyai teknologi terbaik untuk selama-lamanya, kerana persaingan kini sangat pesat.
Ditanya sama ada Malaysia mungkin akan mengikut negara-negara tertentu dalam melarang penggunaan Huawei, Dr Mahathir berkata itu tidak akan terjadi.
“Pasaran di Malaysia terlampau kecil untuk mempunyai kesan ke atas Huawei, yang kita tahu mempunyai penyelidikan dan pembangunan yang jauh lebih besar berbanding negara kami. Jadi kami akan cuba menggunakan teknologi mereka sebaik mungkin.
“Ya mungkin benar dakwaan terdapat pengintipan yang dilakukan, tetapi untuk Malaysia...apa dia yang nak diintipkan pun? Malaysia negara terbuka (open book)...kalau ada pihak nak invade (jajah), kami tak melawan...buang masa,” katanya dengan nada gurauan.
#Amerika Syarikat
#AS
#Asia
#China
#Huawei
#Mahathir Mohamad
#Malaysia
#Perdana Menteri
#Persidangan Nikkei
#R&D