Perlekeh pertanyaan pekerja Twitter yang dipecat, Elon Musk akhirnya mohon maaf

Agensi
Mac 8, 2023 17:42 MYT
Musk dalam pertimbangan untuk terus kekalkan Thorleifsson bersama syarikat itu. - Gambar fail
SAN FRANCISCO: Hartawan dan juga pemilik syarikat Twitter, Elon Musk membuat permohonan maaf selepas memperlekehkan salah seorang kakitangannya, Halli Thorleifsson, berhubung statusnya sebagai pekerja di syarikat itu.
AP melaporkan, Musk membuat permohonan maaf itu selepas menerima kecaman hebat berhubung pekerjanya itu yang juga merupakan orang kurang upaya (OKU).
“Saya ingin memohon maaf kepada Halli atas salah faham saya tentang situasinya. Ia berdasarkan perkara yang tidak benar diberitahu kepada saya.
“Dia (Thorleifsson) sedang dipertimbangkan untuk terus kekal bersama Twitter,” katanya menerusi hantarannya di Twitter pada Rabu.
Bagaimanapun, Thorleifsson tidak menjawab respons itu dengan kadar segera malah dia menganggap Musk sememangnya mempunyai hak untuk memecatnya.
“Awak (Musk) mempunyai hak untuk pecat saya, namun ia lebih baik sekiranya perkara itu dimaklumkan sendiri kepada saya,” menurut hantaran Twitternya kepada Musk.
BACA: 'Adakah saya dipecat?' - Kakitangan Twitter rayu jawapan Elon Musk
Sebelum ini, tindakan Musk menerima kritikan hebat selepas seolah-olah memperlekeh persoalan yang dibangkitkan Thorleifsson mengenai statusnya bersama syarikat berkenaan.
Baru-baru ini, Thorleifsson dikatakan gagal untuk mengakses akaun kerjanya di Twitter selepas akaun berkenaan dikunci.
Beberapa hari kemudian, Thorleifsson menerima e-mel yang menyatakan bahawa dirinya telah dipecat daripada syarikat berkenaan.
Tindakan Musk itu juga telah memberi kesan tekanan terhadap Thorleifsson setelah menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak menghormati kontrak yang ditandatanganinya dengan Twitter.
Bulan lalu, Elon Musk dilaporkan memecat 200 lagi pekerja Twitter sekali gus menyaksikan Twitter kini hanya mempunyai lebih 2,000 kakitangan berbanding 7,500 pada bulan Oktober tahun lalu.
#Twitter #Elon Musk #OKU #Halli Thorleifsson
;