Perkhidmatan Rahsia AS akan sampaikan taklimat kepada Kongres tentang penemuan kokain di White House

Bernama
Julai 11, 2023 17:48 MYT
Pada 2 Julai, serbuk putih ditemui di White House dan ujian awal mendapati bahan itu mengandungi kokain. - AP
MOSCOW: Perkhidmatan Rahsia AS akan memberi maklumat berhubung kokain yang ditemui di White House kepada Kongres, lapor Sputnik memetik laman sesawang berita Axios pada Selasa.
Minggu lalu, sekumpulan anggota kongres AS menghantar surat kepada pengarah Perkhidmatan Rahsia Kimberly Cheatle meminta diberi taklimat mengenai perkara itu.
Taklimat itu akan dijalankan di peringkat kakitangan dan dijadual pada 10 pagi waktu tempatan (1400 GMT) Khamis, menurut laman sesawang berita itu.
Pada 2 Julai, serbuk putih ditemui di White House dan ujian awal mendapati bahan itu mengandungi kokain.
Media melaporkan bahawa bahan itu ditemui di kawasan yang digunakan oleh tetamu dan kakitangan White House, tetapi lokasi sebenar dan potensinya masih tidak diketahui pada masa ini.
Anak lelaki Presiden AS Joe Biden, Hunter, yang terpalit dengan beberapa skandal dadah dan rasuah, berada di pekarangan White House tidak lama sebelum serbuk putih itu ditemui di Sayap Barat, lapor media.
-- BERNAMA
#White House #kokain #Perkhidmatan Rahsia #Amerika Syarikat #Secret Service
;