Perkhidmatan kereta api Algeria-Tunisia disambung semula selepas 30 tahun

Bernama
Ogos 12, 2024 00:00 MYT
Syarikat Pengangkutan Rel Nasional Algeria mengumumkan penyambungan semula perkhidmatan kereta api di laluan yang menghubungkan Algeria ke Tunisia, selepas terhenti hampir 30 tahun. - Foto Emirates News Agency
TUNIS: Syarikat Pengangkutan Rel Nasional Algeria mengumumkan penyambungan semula perkhidmatan kereta api di laluan yang menghubungkan Algeria ke Tunisia, selepas terhenti hampir 30 tahun, menurut laporan media.
Agensi berita Emiriah (WAM) melaporkan, pelancaran rasmi berlangsung pada Sabtu, dengan perjalanan komersial pertama dijadual berlepas dari Tunis pada Ahad.
Perkhidmatan komersial sulung dari stesen Algeria di Annaba dijadualkan pada Selasa.
Kereta api yang akan menempuh jarak 357 kilometer itu terdiri daripada dua gerabak kelas pertama dan dua gerabak kelas kedua, dengan kapasiti keseluruhan sehingga 300 penumpang setiap perjalanan.
Perkhidmatan kereta api antara kedua-dua negara telah digantung pada 1995 atas sebab keselamatan, dan walaupun ia disambung semula pada 2003, ia sekali lagi dihentikan kerana "masalah teknikal."
- BERNAMA
#kereta api Algeria-Tunisia #Rel Nasional Algeria #kereta api #perkhidmatan kereta api