Perkhidmatan awam Greece lumpuh akibat mogok, kemalangan kereta api korban 57 nyawa
Bernama
Mac 17, 2023 17:45 MYT
Mac 17, 2023 17:45 MYT
ATHENS: Perkhidmatan awam Greece, termasuk sektor pengangkutan lumpuh selama 24 jam akibat mogok di seluruh negara ekoran kemalangan kereta api bulan lepas.
Satu siri protes di tengah-tengah Athens oleh kesatuan pekerja awam ADEDY, kesatuan sektor swasta GSEE, dan kesatuan sekerja serta parti pembangkang berakhir dengan pergelutan antara penunjuk perasaan dan polis, lapor Xinhua memetik laporan agensi berita kebangsaan Greece AMNA.
Menurut anggaran polis, kira-kira 25,000 orang berkumpul di jalan-jalan menuju ibu negara, menuntut akauntabiliti bagi tragedi terburuk di Greece pada 28 Feb, yang meragut 57 nyawa.
Mereka juga menuntut keadilan untuk mangsa dan mendesak landasan kereta api yang selamat untuk semua.
"Kami berada di sini, dan kami menuntut agar segala-galanya didedahkan. Kami tidak akan berhenti sehingga suara kami didengari," Konstantinos Vlachakis, setiausaha Majlis Belia Pusat parti pembangkang utama SYRIZA memberitahu Xinhua.
Empat ketua stesen dan seorang penyelia telah didakwa setakat ini atas tuduhan kecuaian hingga mengakibatkan kematian ekoran insiden kereta api penumpang bertembung dengan sebuah kereta api barang di tengah Greece.
Kerajaan memohon maaf atas aspek keselamatan operasi rangkaian kereta api, serta berjanji untuk menaik taraf kemudahan itu secara beransur-ansur.
Perkhidmatan penumpang yang dihentikan pada 1 Mac dijangka beroperasi semula secara beransur-ansur di bawah protokol keselamatan ketat bermula 22 Mac, kata pegawai pada Selasa.
-- BERNAMA