Perkembangan tebing fiskal Amerika
Astro Awani
Januari 1, 2013 16:53 MYT
Januari 1, 2013 16:53 MYT
Rumah Putih dan pemimpin Republikan Amerika Syarikat mencapai kata sepakat pada saat akhir untuk mengelak daripada berlakunya tebing fiskal.
Ini bermakna, peningkatan cukai dan pemotongan perbelanjaan yang dijadual berkuatkuasa 1 Januari tidak akan berlaku.
Menurut sumber dari kongres, perjanjian tersebut akan meningkatkan cukai kepada warga Amerika dengan pendapatan 450 ribu dolar setahun dan ke atas.
Ia akan turut menyaksikan pemotongan 109 billion dolar ke atas jabatan kerajaan di tangguh selama dua bulan.
Antara perincian lain termasuk penamat kepada cukai gaji sebanyak dua peratus kepada simpanan pencen.
Langkah seterusnya kini adalah untuk meningkatkan kadar pinjaman siling Amerika.
Kumpulan Republikan inginkan pemotongan perbelanjaan untuk syarat tersebut.
Sementara itu, senator daripada parti demokrat menjangkakan satu undian terhadap perjanjian tebing fiskal itu akan diadakan kemudian.
Perkara tersebut kemudiannya akan dibentangkan kepada dewan perwakilan bagi mendapatkan undian.
Speaker dewan, John Boehner bagaimanapun berkata beliau tidak akan mengundi ke atas mana-mana perkara diputuskan dewan senat melainkan ia telah dilihat dewan perwakilan dan rakyat Amerika sendiri.
Kompromi di antara republikan dan demokrat berhubung perjanjian tebing fiskal ini berjaya dicapai ketika penduduk Amerika sedang bersiap sedia menyambut ketibaan tahun baru 2013 di New York.