Perkasa hubungan baik media Malaysia-Indonesia, perangi berita palsu negara serumpun
Bernama
Februari 19, 2024 21:19 MYT
Februari 19, 2024 21:19 MYT
JAKARTA: Hubungan baik di antara wartawan Malaysia dan Indonesia perlu diperkasa dan diteruskan dalam usaha memerangi penyebaran berita-berita palsu dan naratif buruk membabitkan kedua-dua negara serumpun itu.
Menteri Komunikasi dan Informatika Indonesia Budi Arie Setiadi berkata pengamal media juga berperanan penting dalam memupuk nilai persefahaman antara rakyat Malaysia dan Indonesia dalam usaha mengekalkan hubungan baik kedua-dua negara.
"Seperti kita tahu kewartawanan itu adalah tiang demokrasi keempat bagi sesebuah negara maka, wartawan Indonesia dan Malaysia juga (berperanan) untuk menjaga demokrasi kita.
Saya yakin mulai sekarang dan masa akan datang, hubungan Malaysia dan Indonesia akan lebih bersifat kekeluargaan, saling membangun dan memahami antara satu sama lain. Apatah lagi apabila budaya kita begitu dekat," katanya pada Program Jejak Serumpun di Kementerian Komunikasi dan Informatika (Kominfo) di sini hari ini.
Dalam sesi lawatan yang diadakan secara santai itu, beberapa perkongsian turut diadakan antara delegasi media Malaysia bersama Budi yang meliputi aspek Pemilihan Umum (Pemilu) bagi Pemilihan Presiden (Pilpres) 2024 serta industri media Malaysia dan Indonesia.
Selain itu, Budi turut berkongsi minatnya terhadap karya yang dihasilkan oleh artis-artis Malaysia antaranya kumpulan muzik Iklim, Datuk Sheila Majid dan Datuk Zainal Abidin.
Siri lawatan ini diketuai Setiausaha Agung ISWAMI Malaysia yang juga Ketua Penyiaran (TV dan Radio) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Mohd Shukri Ishak.
Dalam perkembangan lain, seramai 16 orang barisan pimpinan media dari Malaysia dijadualkan tiba ke Jakarta, Indonesia pada pukul 2.45 petang ini (waktu tempatan) sempena sambutan Hari Pers Nasional 2024 yang akan berlangsung esok.
Pimpinan media yang hadir menyertai delegasi itu antaranya Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Malaysia yang juga Ketua Pengarang ASTRO Awani Ashwad Ismail, Timbalan Presiden ISWAMI Malaysia yang juga Pengarang Urusan Kumpulan NSTP Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Ketua Pengarang Bernama Nur-ul Afida Kamaludin.
ISWAMI adalah forum wartawan Malaysia-Indonesia yang ditubuhkan pada 2003 sebagai jambatan kepada hubungan media Malaysia dan Indonesia, berperanan membina kemakmuran bersama kedua-dua negara rumpun Nusantara.
-- BERNAMA