'Perkampungan salji tanpa salji'
Sinar Harian
Februari 22, 2025 09:30 MYT
Februari 22, 2025 09:30 MYT
Pihak pengurusan Perkampungan Salji Chengdu menggunakan salji tiruan dan memuat naik gambar pemandangan tersebut di media sosial. - Foto Sinar Harian/Agensi
CHENGDU: Sebuah perkampungan pelancongan di China yang terkenal dengan pemandangan bersalji terpaksa memohon maaf selepas didapati menggunakan kapas dan air sabun untuk menghasilkan salji palsu akibat cuaca panas luar jangkaan.
Chengdu, ibu kota wilayah Sichuan, mengalami suhu lebih panas daripada biasa ketika cuti Tahun Baharu Cina hujung Januari lalu, menyebabkan salji cair.
Bagi mengekalkan suasana musim sejuk, pihak pengurusan Perkampungan Salji Chengdu menggunakan salji tiruan dan memuat naik gambar pemandangan tersebut di media sosial. Namun, tindakan itu mengundang kritikan apabila pelancong mendakwa ia sebagai mengelirukan.
Gambar yang tular di media sosial menunjukkan helaian kapas berselerakan di tanah serta di atas rumah, tetapi pihak perkampungan tersebut tidak memaklumkan bahawa ia bukan salji sebenar.
Bagaimanapun taktik itu dihidu netizen dan meluahkan rasa kecewa atas pembohongan tersebut.
"Perkampungan salji tanpa salji," sindir seorang pengguna media sosial.
Susulan kecaman yang diterima, pihak pengurusan perkampungan itu mengeluarkan permohonan maaf menerusi aplikasi WeChat dan menawarkan bayaran balik kepada pelawat yang berasa tertipu.
"Bagi mencipta suasana bersalji, kami telah membeli kapas untuk menggantikan salji namun kesannya tidak seperti yang diharapkan, malah memberi tanggapan buruk kepada pelancong yang berkunjung," menurut kenyataan rasmi mereka.
Difahamkan, kawasan pelancongan itu kini telah dibersihkan daripada salji tiruan.
China ketika ini berdepan dengan gelombang haba lebih panas dan berpanjangan serta hujan lebat yang semakin kerap akibat perubahan iklim, menurut amaran daripada biro kaji cuaca negara itu. - Sinar Harian memetik agensi