Perjanjian Rangka Kerja Bangsamoro rintis perdamaian

Roshdi Lidun
Oktober 22, 2012 12:03 MYT
Perjanjian Rangka Kerja Mengenai Bangsamoro yang ditandatangani antara Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di Mindanao Isnin akan merintis jalan ke arah keamanan, pembangunan dan kemakmuran berkekalan di Mindanao, setelah lebih 40 tahun wilayah yang kaya dengan sumber asli, tetapi mundur itu, dilanda pertumpahan darah.
Upacara menandatangani perjanjian itu, yang disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Benigno Aquino III di Istana Malacanang, juga menamatkan peperangan dan sengketa yang wujud sejak sekian lama antara MILF dan Kerajaan Filipina.
Keamanan yang selama ini hanya dianggap sebagai suatu ilusi, akhirnya menjadi kenyataan hasil peranan membina yang dimainkan Malaysia sejak 2001 untuk memungkinkan dan mengadakan rundingan antara Kerajaan Filipina dan MILF.
Perang di selatan Filipina meragut lebih 150,000 nyawa sejak awal 1970-an dan pelbagai perjanjian damai yang dicapai sebelum ini, sama ada tidak membuahkan hasil atau tidak dapat dilaksanakan.
Perjanjian berkenaan dianggap sebagai "perjanjian induk" yang menggariskan rangka tindakan ke arah pembentukan entiti baharu bagi Bangsamoro untuk menggantikan Wilayah Autonomi sedia ada di wilayah Islam Mindanao.
Kebanyakan pihak yang mengikuti konflik di selatan Filipina berpendapat bahawa perjanjian berkenaan merupakan suatu langkah besar ke arah mencapai keamanan serta kemajuan di Mindanao dan dilihat sebagai satu kejayaan penuh bersejarah.
Perjanjian itu juga akan membuka jalan kepada usaha membangunkan semula Mindanao, yang sejak empat dekad lepas, mengalami pelbagai kerugian termasuk daripada segi prasarana, pelaburan dan masa depan.
Perjanjian itu dilihat mampu mengurangkan dengan ketara kegiatan keganasan yang mencemari selatan Filipina sejak beberapa dekad lepas dan sekali gus, mewujudkan suasana lebih kondusif bagi pelaburan dan pembangunan, di samping menyumbang kepada keselamatan menyeluruh di Filipina, termasuk di wilayah berkenaan.
Perjanjian berkenaan memperuntukkan bahawa MILF akan melaksanakan satu program pentaulihan pasukan tenteranya secara beransur-ansur sebelum dibubarkan sepenuhnya.
Perjanjian itu juga menyatakan bahawa kedua-dua pihak komited untuk bekerjasama bagi mengurangkan penggunaan dan pengawalan senjata api di kawasan berkenaan dan membubarkan pasukan tentera persendirian dan kumpulan bersenjata lain.
Perjanjian itu, antara lain, menyebut bahawa Bangsamoro akan diwujudkan untuk menggantikan Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM).
Ia menyatakan bahawa Bangsamoro akan mendapat bahagian yang adil dan saksama daripada hasil yang dijana melalui kerja cari gali, pembangunan atau penggunaan sumber asli yang diperoleh dari semua kawasan/wilayah, tanah atau air, yang diliputi dan terletak di bawah bidang kuasa Bangsamoro, sejajar dengan formula yang dipersetujui kedua-dua pihak.
#ARMM #bangsamoro #Filipina #MILF #Mindanao #najib
;