Perjanjian presiden Ukraine, pembangkang tidak redakan protes

Astro Awani
Februari 22, 2014 12:17 MYT
Presiden Ukraine dan pemimpin pembangkang menandatangani perjanjian bagi mengakhiri krisis politik.
Persefahaman yang dimetrai pada Jumaat itu membuka jalan kepada pilihan raya lebih awal dan pembentukan kerajaan baru.
Perjanjian ini memberi petanda awal berakhirnya krisis terburuk negara bekas Kesatuan Soviet itu sejak merdeka.
Persoalannya adakah penunjuk perasaan akan akur kepada perjanjian damai itu?
Berdasarkan perjanjian berkenaan, pilihan raya presiden akan diadakan paling lewat pada Disember, dan bukannya Mac 2015 seperti yang dijadualkan sebelum ini.
Menyusul selepas itu ialah pembentukan kerajaan campuran dalam tempoh 10 hari. Kerajaan juga tidak akan mengisytiharkan darurat. Kedua-dua pihak juga akan mengelak daripada bertindak ganas.
Pihak penunjuk perasaan pula akan menyerahkan semua senjata dan berundur dari semua bangunan yang diduduki semasa protes.
Perjanjian ini susulan tekanan yang diberikan oleh perunding dari negara-negara Eropah.
Sementara itu, jangkaan bahawa pengumuman berkenaan akan meredakan protes nampaknya meleset.
Dataran Merdeka di Kiev sekali lagi jadi medan berhimpun penunjuk perasaan dan mereka melaungkan ikrar tidak akan berganjak dengan perjuangan menyingkirkan Yanukovysh.
Keputusan perjanjian damai berkenaan dianggap menguntungkan Presiden itu.
Bagi penunjuk perasaan, Yanukovych seharusnya letak jawatan dan dihukum kerana menyebabkan kematian 77 penunjuk perasaan semasa pertempuran dengan pihak polis anti rusuhan.
#Ukraine
;