Perjanjian perdagangan pertama UK pasca-Brexit dengan Australia, New Zealand berkuat kuasa
Bernama
Mei 31, 2023 20:24 MYT
Mei 31, 2023 20:24 MYT
LONDON: Perjanjian perdagangan antara United Kingdom (UK), Australia dan New Zealand berkuat kuasa pada tengah malam (2300 GMT) Selasa, dengan penghantaran khas barangan British seperti komik Beano yang ditandatangani menjadi antara barangan pertama dihantar di bawah pengaturan baharu itu, lapor PA Media/dpa.
Ia adalah perjanjian perdagangan pertama pasca-Brexit yang berkuat kuasa dan dilaksanakan selepas UK, Australia dan New Zealand menyelesaikan proses ratifikasi domestik masing-masing.
Di bawah terma urus niaga mulai Rabu, tarif ke atas semua eksport barangan UK ke Australia dan New Zealand dimansuhkan, pembukaan akses kepada perkhidmatan serta birokrasi dikurangkan untuk perdagangan digital dan visa kerja.
Setiausaha Perniagaan dan Perdagangan UK Kemi Badenoch berkata perjanjian perdagangan pertama itu merupakan detik bersejarah dengan perniagaan antara ketiga-tiga negara kini boleh meraih manfaat berdasarkan statusnya sebagai negara perdagangan bebas selain boleh merebut peluang baharu, memacu pertumbuhan ekonomi, inovasi dan gaji yang lebih tinggi.
Sempena tarikh penting itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa Britain Nigel Huddleston akan melawat Pusat Pengedaran Selatan DHL berhampiran Heathrow untuk melihat dua konsainan barangan UK pilihnya dihantar ke Australia dan New Zealand.
Barangan British dari seluruh negara itu termasuk komik Beano yang ditandatangani oleh editor komik John Anderson, wiski Welsh malt tunggal Penderyn, Brighton Gin, beg The Cambridge Satchel Co. dan pembancuh Fever-Tree daripada Kerajaan UK kepada menteri perdagangan Australia dan New Zealand.
Bungkusan itu juga termasuk baju kriket England yang ditandatangani oleh James Anderson dan Emma Lamb, baju ragbi Wales yang ditandatangani oleh pasukan lelaki, dan raket tenis dari Gray's of Cambridge.
Beliau berkata Australia dan New Zealand adalah dua daripada rakan terdekat dan rakan kongsi yang berfikiran sama dan perjanjian perdagangan itu menjamin syarat yang menggalakkan untuk pengeksport Britain, menghapuskan tarif ke atas semua barangan UK dan mengurangkan kerenah birokrasi.
Selain perjanjian perdagangan baharu, belia warga Britain juga akan mendapat manfaat daripada peluang di Australia menerusi pengembangan skim visa Mobilitas Belia dan Working Holiday Maker.
Mulai 1 Julai 2023, had umur untuk pemohon UK ke Australia adalah dari 30 hingga 35 tahun dan mulai 1 Julai 2024, warga Britain akan dapat tinggal di Australia sehingga tiga tahun tanpa perlu memiliki syart khusus pekerjaan.
-- BERNAMA