Perjanjian perdagangan Indo-Pasifik: Satu tonggak dimeterai, dua dimuktamad dan perdagangan belum diputuskan

Bernama
November 17, 2023 08:45 MYT
Empat belas rakan IPEF menyaksikan rundingan bagi perjanjian ekonomi yang bersih dan saksama dimuktamadkan di luar Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC di San Francisco.
KUALA LUMPUR: Empat belas rakan Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) menyaksikan rundingan bagi perjanjian ekonomi yang bersih dan saksama dimuktamadkan manakala perjanjian rantaian bekalan dimeterai di luar Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco.
Negara-negara tersebut ialah Australia, Brunei, Fiji, India, Indonesia, Jepun, Malaysia, New Zealand, Filipina, Singapura, Korea Selatan, Thailand, Amerika Syarikat (AS) dan Vietnam.
IPEF terdiri daripada empat tonggak utama: Tonggak 1 - Perdagangan, Tonggak 2 - Rantaian Bekalan, Tonggak 3 - Tenaga Bersih dan Tonggak 4 - Ekonomi Saksama. Rundingan IPEF merangkumi empat perjanjian berasingan bagi setiap daripada tonggak ini.
Rundingan perjanjian perdagangan yang diterajui oleh AS masih belum diputuskan.
"Rakan IPEF kini akan mengambil langkah yang perlu, termasuk perundingan domestik selanjutnya dan semakan undang-undang, untuk menyediakan teks akhir daripada tiga perjanjian yang dicadangkan itu.
"Sebaik sahaja dimuktamadkan, cadangan perjanjian itu akan tertakluk kepada proses domestik rakan IPEF untuk ditandatangani, diikuti dengan ratifikasi, penerimaan atau kelulusan," demikian menurut satu kenyataan yang dikeluarkan mengenai perjanjian itu, di sini, hari ini.
Melalui Perjanjian Ekonomi Bersih IPEF, rakan IPEF komited untuk meneruskan secara aktif objektif iklim mereka dan hala tuju masing-masing kepada ekonomi pelepasan karbon bersih-sifar di samping turut memastikan penggalakan pertumbuhan mampan dan kejayaan bagi semua rakan.
"Untuk itu, cadangan perjanjian tersebut meliputi pelbagai isu yang kritikal bagi peralihan kepada ekonomi bersih, termasuk usaha ke arah keterjaminan dan peralihan tenaga, daya tahan dan penyesuaian iklim, pengurangan pelepasan gas rumah hijau, dan menggalakkan usaha memperoleh mata pencarian yang mampan dan peralihan yang saksama," kata kenyataan tersebut.
Di bawah Perjanjian Ekonomi Saksama IPEF, rakan IPEF komited untuk menjalin kerjasama bagi meningkatkan kesaksamaan, keterangkuman, ketelusan, kedaulatan undang-undang dan akauntabiliti dalam ekonomi mereka untuk menambah baik persekitaran perdagangan dan pelaburan di rantau Indo-Pasifik.
Rakan IPEF seterusnya menekankan bahawa persekitaran perniagaan yang lebih telus dan boleh diramal boleh merangsang perdagangan dan pelaburan yang lebih besar dalam pasaran mereka dan persaingan adil dalam perniagaan dan pekerja di ekonomi rakan IPEF.
IPEF bagi Kemakmuran
Sementara itu, rakan IPEF juga menyaksikan IPEF bagi Kemakmuran dimuktamadkan yang akan mewujudkan majlis dan suruhanjaya bersama peringkat menteri untuk memformalkan dan memastikan kerjasama berjalan lancar.
Majlis IPEF akan mempertimbang perkara yang mempengaruhi operasi kolektif perjanjian yang berkait dengan empat tonggak IPEF, serta menimbang kemungkinan menambah ahli baharu atau perjanjian baharu.
Manakala Suruhanjaya Bersama pula akan memantau usaha di bawah perjanjian yang dirundingkan di bawah Tonggak II-IV, dengan tujuan untuk mengenal pasti cara mengurangkan pertindihan dan kemungkinan konflik serta memastikan usaha berjalan lancar antara atau merentas perjanjian tersebut.
"Majlis dan Suruhanjaya Bersama IPEF akan bertemu setiap tahun, dengan matlamat agar semua mesyuarat menteri diadakan secara bersama dan serentak," katanya.
--BERNAMA
#IPEF #perjanjian perdagangan #Indo-Pasifik #APEC 2023
;