Perjanjian perdagangan adil, bakal jadi detik bersejarah antara AS, China

Astro Awani
Jun 29, 2019 16:58 MYT
Kedua-dua pemimpin itu bertemu di luar Sidang Kemuncak G20 di Osaka, Jepun. - REUTERS
PRESIDEN Donald Trump berkata detik "bersejarah" bakal tercipta andai Amerika Syarikat (AS) dan China dapat mengadakan perjanjian perdagangan yang adil.
Trump berkata demikian pada pertemuannya dengan Presiden China Xi Jinping di luar Sidang Kemuncak G20 di Jepun pada Sabtu, lapor Bernama, memetik agensi berita Anadolu.
Hasil mesyuarat berkenaan menjadi penentu sama ada perang perdagangan dan tarif akan berlarutan di antara kedua-dua kuasa dunia itu.
"Sebenarnya hubungan kita erat dan... berlaku sedikit pertikaian tetapi kini kita kembali rapat," kata Trump pada sidang media yang turut dihadiri Presiden Xi.
Sengketa perdagangan jelas menjejaskan kedua-dua negara menyaksikan banyak syarikat Amerika dan China kerugian berbilion dolar, mempengaruhi sektor perkilangan dan rangkaian bekalan, selain mewujudkan ketidaktentuan pasaran di seluruh dunia.
Trump sebelum ini dilaporkan berkata, akan memperluas tarif sedia ada ke atas semua barangan import China ke AS, andai tiada kemajuan berhubung permintaan AS untuk pembaharuan ekonomi.
BACA: Amerika Syarikat, China setuju henti sementara perang perdagangan
Xi berkata China bersedia berbincang mengenai isu asas yang menjadi perbalahan dan menggesa mengadakan dialog.
Katanya, walaupun banyak perubahan berlaku dalam hubungan China-AS sejak 40 tahun lalu, "satu fakta yang tidak disangkalkan ialah kedua-dua negara mendapat manfaat daripada kerjasama sedangkan sengketa hanya merugikan."
"Kerjasama dan dialog lebih baik daripada perpecahan dan konfrontasi," kata Xi.
BACA: Pertemuan Trump dan Xi di G20: Apa boleh kita jangkakan?
Sejak mengambil alih pentadbiran pada 2016, Trump sering menuduh China menjalankan perang perdagangan tidak adil terhadap AS dengan memberi subsidi kepada perniagaan milik China, selama bertahun-tahun mencuri harta intelek AS dan menekan syarikat Amerika supaya berkongsi rahsia perdagangan jika mahu berurus niaga di China.
#Amerika Syarikat #AS #China #Donald Trump #ekonomi #G20 #Jepun #perang perdagangan #subsidi
;