Perjanjian kandungan berita: Google, Nine capai persetujuan RM93.7 juta setahun
Agensi
Februari 17, 2021 21:50 MYT
Februari 17, 2021 21:50 MYT
SYARIKAT gergasi Internet, Google dilaporkan bersetuju untuk membayar Nine Entertainment Co (Nine) lebih $30 juta dolar Australia juta setiap tahun bagi kandungan berita.
Portal The Sydney Morning Herald melaporkan, ia kejayaan besar bagi syarikat berkenaan menjelang pengenalan 'Kod Tawar-Menawar Media Berita' sebelum sesi Parlimen sekarang berakhir pada 25 Februari ini.
Menurut laporan sumber yang dirahsiakan identitinya, Nine telah menandatangani surat perjanjian dengan Google dalam tempoh semalaman bagi tawaran bernilai lebih $30 juta setahun selama lima tahun.
Banyak sumber industri yang tidak dapat bercakap secara terbuka kerana perjanjian itu adalah sulit, mengatakan ia adalah perjanjian terbesar untuk kandungan berita yang telah ditandatangani oleh Google di Australia sehingga kini.
Sebagai rekod, Nine adalah pemilik portal berita seperti The Sydney Morning Herald dan The Age.
Terdahulu, kerajaan Australia memaklumkan pihaknya akan meminda draf undang-undang yang akan membuatkan Google dan Facebook membayar kandungan berita sekali gus kepada penerbit dan bukannya per klik pada pautan artikel berita.
Perjanjian itu dianggap penting kerana ia merangkumi kandungan daripada akhbar utama, televisyen, radio dan aset digital Nine, dan akan menyediakan dana yang mencukupi untuk menyokong bilik berita untuk syarikat itu.