Perjanjian global bendung pencemaran plastik
Reuters
Februari 22, 2022 20:00 MYT
Februari 22, 2022 20:00 MYT
LEBIH 100 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan bersidang bulan ini untuk merangka pelan tindakan bagi perjanjian global pertama kali untuk menangani pencemaran plastik.
PBB berkata, ia boleh menjadi pakatan alam sekitar paling penting sejak Perjanjian Paris pada 2015.
Mengapa ia berlaku dan apa yang dipertaruhkan?
Bumi kini dibanjiri sisa plastik yang sukar dikitar semula, lambat reput, dan memerlukan kos tinggi untuk ditanam dan dibakar. Ia memusnahkan hidupan liar dan mencemarkan rantai makanan. Sebelas juta tan metrik daripadanya berakhir di lautan setiap tahun, angka yang dijangka meningkat tiga kali ganda menjelang 2040 melainkan pengeluaran dan penggunaan plastik buang seperti botol minuman, pembungkusan penghantaran dan beg runcit dikurangkan.
Jika PBB tidak boleh bersetuju dengan perjanjian untuk menghentikan pencemaran plastik, akan berlaku kerosakan ekologi yang teruk dalam beberapa dekad akan datang, sekali gus meletakkan beberapa spesies marin dalam risiko kepupusan dan memusnahkan ekosistem sensitif seperti terumbu karang dan bakau, menurut kajian Dana Hidupan Liar Dunia Kajian yang dikeluarkan bulan ini.
Pengeluaran plastik yang diramalkan meningkat dua kali ganda dalam tempoh 20 tahun akan datang juga menimbulkan ancaman perubahan iklim yang besar, kerana sebahagian besar plastik berasal daripada bahan api fosil.
Apakah prosesnya?
Perhimpunan Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEA) akan berlangsung, secara fizikal dan dalam talian, di ibu pejabat Program Alam Sekitar PBB (UNEP) di Nairobi, Kenya dari 28 Februari hingga 2 Mac.
Matlamat utama adalah untuk menetapkan syarat bagi perjanjian global mengenai pencemaran plastik dan membentuk jawatankuasa rundingan antara kerajaan (INC) untuk menjadi perantara perjanjian akhir.
Jika negara anggota bersetuju dengan rangka kerja asas, INC memerlukan sekurang-kurangnya dua tahun untuk membuat rundingan perjanjian akhir yang akan ditandatangani.
Apa yang terkandung dalam perjanjian ini?
Elemen yang mungkin ada ialah had pengeluaran plastik, komitmen negara anggota untuk menghapuskan plastik sekali guna dan sukar dikitar semula secara berperingkat, dan sasaran untuk meningkatkan kadar pengumpulan dan kitar semula sisa.
Isu utama ialah sama ada peruntukan dalam mana-mana perjanjian akan berakhir secara sukarela atau tertakluk undang-undang.
Apakah risiko untuk organisasi besar?
Syarikat minyak dan kimia yang membuat plastik, termasuk Dow, ExxonMobil dan Royal Dutch Shell, akan mengalami kerugian paling ketara daripada perjanjian ini yang akan mengehadkan pengeluaran plastik atau menghentikan pembungkusan sekali guna.
Jenama seperti Coca-Cola, PepsiCo, Nestle dan Unilever, yang menjual pelbagai produk dalam pembungkusan plastik pakai buang, juga akan terjejas jika perjanjian itu meletakkan sekatan ke atas pembuatan atau reka bentuk plastik.