Perjanjian bijirin: Moscow tuduh negara-negara barat menyeleweng

Astro Awani
Julai 20, 2023 08:20 MYT
Putin mengakui sedia kembali ke meja rundingan sekiranya syarat-syarat Kremlin dipenuhi. - Foto REUTERS
MOSCOW: Presiden Rusia, Vladimir Putin menuduh negara-negara barat menyeleweng perjanjian bijirin hitam untuk kegunaan mereka.
Rusia sah tidak melanjutkan perjanjian itu yang tamat 17 Julai lalu.
Namun Putin mengakui sedia kembali ke meja rundingan sekiranya syarat-syarat Kremlin dipenuhi.
"Negara-negara barat menggunakan perjanjian ini untuk kepentingan mereka. Mereka menyeleweng daripada tujuan asal perjanjian ini.
"Pada awalnya, perjanjian ini disasarkan untuk menjamin keselamatan makanan global, mengurangkan ancaman kebuluran, dan menyokong negara-negara miskin Afrika, Asia serta Amerika Latin. Kerana itu Rusia komited mahu mempromosi perjanjian ini," katanya.
Rusia mendakwa perjanjian sampingan yang dimeterai dengan perjanjian bijirin untuk memudah cara eksport bijirin dan bajanya tidak dipenuhi sepenuhnhya.
Moscow bagaimanapun sedia kembali melanjutkan perjanjian itu sekiranya tuntutan utamanya dipenuhi.
Putin menyenaraikan lima perkara utama yang mahu ditekankan.
Ini termasuk menyenarai semula Bank Pertanian Rusia dalam sitem pembayaran SWIFT, menyambung semula eksport peralatan pertanian ke Rusia dan membatalkan sekatan terhadap insurans.
Selain itu, Moscow juga mahu menyambung semula eksport ammonia, serta menuntut supaya sekatan ke atas aktiviti melibatkan akaun kewangan syarikat baja di tarik semula.
#Vladimir Putin #perjanjian bijirin #negara Barat #menyeleweng
;