Perjanjian baharu perlindungan data AS dan EU berkuat kuasa
Bernama
Julai 11, 2023 21:00 MYT
Julai 11, 2023 21:00 MYT
BRUSSELS: Perjanjian perlindungan data baharu antara Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) bagi menangani kebimbangan privasi Mahkamah Keadilan Eropah (ECJ), berkuat kuasa pada Isnin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Perjanjian itu meningkatkan hubungan ekonomi antara EU dan AS dan "merupakan langkah penting untuk meningkatkan kepercayaan rakyat bahawa data mereka selamat," kata Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen.
Data dari EU disalurkan kepada syarikat Amerika yang menyertai perjanjian itu tanpa syarat perlindungan tambahan, menurut suruhanjaya itu selepas menyelesaikan semakan perlindungan di AS.
Tindakan itu dibuat selepas keputusan ECJ pada 2020 yang mendapati perlindungan privasi data dalam apa yang dipanggil "Perisai Privasi" AS tidak memenuhi piawaian EU.
Pada 2020, ECJ mengkritik, terutama membabitkan kemungkinan meluaskan perkhidmatan perisikan AS untuk mengakses data warga EU serta membatalkan perjanjian privasi data sebelumnya antara EU dan AS.
Perjanjian "Perlindungan Privasi" berkuat kuasa pada 2016, selepas peraturan terdahulu yang "mengurangkan liabiliti kawal selia" (Safe Harbor) dibatalkan oleh ECJ, dalam kedua-dua kes selepas tuntutan mahkamah daripada aktivis perlindungan data Max Schrems.
Pada Oktober 2022, selepas perbincangan menyeluruh dengan EU, Presiden AS Joe Biden dalam dekrinya yang mengehadkan akses perkhidmatan rahsia kepada data yang dihantar oleh warga Eropah, dianggap sebagai asas bagi perjanjian perundangan baharu dengan blok itu untuk meningkatkan keselamatan data.
--BERNAMA-dpa