Perjalanan terakhir Ratu Elizabeth II
Astro Awani
September 19, 2022 21:43 MYT
September 19, 2022 21:43 MYT
LONDON: Perarakan pemakaman Ratu Elizabeth II yang bermula pada kira-kira jam 10.30 pagi Isnin (waktu tempatan) berjalan dengan penuh adat istiadat.
Raja Britain, Raja Charles III dan keluarga Diraja mengiringi belakang keranda Ratu Elizabeth II sebelum dibawa masuk ke Westminster Abbey untuk upacara pemakaman.
Tiupan nafiri Last Post berkumandang sebelum seluruh negara bertafakur selama dua minit, sebelum lagu God Save the King dimainkan.
Keranda Ratu Elizabeth II kemudian diarak ke Wellington Arch di Hyde Park Corner diiringi Raja Charles III, kerabat Diraja dan angkatan bersenjata kontinjen Komanwel dari 56 negara.
Loceng menara jam Big Ben di Istana Westminster dibunyikan dan disusuli dengan das tembakan hormat.
Semasa perarakan, keranda membawa Ratu bergerak melepasi Cenotaph iaitu tugu peringatan askar Britain dan Komanwel yang terkorban dalam Perang Dunia Pertama dan Kedua.
Kemudian, keranda membawa jasad Ratu Elizabeth telah dibawa naik ke The Mall buat kali terakhir dan perarakan diteruskan menuju ke Istana Buckhingham.
Keranda ini turut melewati Istana Buckingham buat kali terakhir ketika dalam perjalanan ke Wellington Arch sebelum dibawa dengan pedati Diraja ke Istana Windsor untuk upacara seterusnya.
Raja Charles III dan kerabat Diraja menyertai perarakan dari Quadrangle di Istana Windsor sebelum rombongan berhenti di Gereja Kecil St George.
Perarakan yang mengiringi keranda berkenaan itu turut disaksikan oleh ribuan masyarakat yang membanjiri di luar perkarangan Istana Windsor.
Perjalanan akhir Ratu Elizabeth II tamat apabila dimakamkan di King George VI Memorial Chapel, yang juga tempat persemadian bonda dan ayahanda beliau serta suami, Putera Phillip yang meninggal dunia pada April 2021.
Upacara pemakaman Ratu Elizabeth II diadakan secara tertutup dan hanya dihadiri Raja Charles III dan kerabat Diraja.