Perjalanan antarabangsa: AS akan terima vaksin COVID-19 diluluskan WHO, FDA

Astro Awani
Oktober 10, 2021 06:30 MYT
AS akan menerima pelawat antarabangsa yang menggunakan vaksin COVID-19 diluluskan FDA dan WHO. -Gambar fail
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) akan menerima pelawat antarabangsa yang menggunakan vaksin COVID-19 diluluskan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Perkara itu dinyatakan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).
Jurucakap CDC berkata, enam vaksin yang diluluskan oleh FDA atau disenaraikan untuk kegunaan kecemasan oleh WHO akan memenuhi kriteria perjalanan ke Amerika Syarikat.
CDC turut menyatakan pihaknya akan memberitahu syarikat penerbangan mengenai vaksin yang akan diluluskan serta garis panduan perjalanan antarabangsa.
Pada 20 September lalu, White House mengumumkan negara itu akan memansuhkan sekatan perjalanan bagi pelancong udara dari 33 negara termasuk China, India, Brazil dan sebahagian besar Eropah.
Mereka yang dibenarkan memasuki negara itu adalah individu yang lengkap diberikan vaksin COVID-19.
Beberapa negara telah menekan kerajaan Biden untuk mengiktiraf vaksin diluluskan WHO kerana vaksin yang diluluskan oleh FDA tidak banyak digunakan di semua negara.
Keperluan vaksin COVID-19 akan dikuatkuasakan kepada hampir semua warganegara asing yang terbang ke AS.
CDC masih perlu memuktamad dan menerbitkan peraturan pengesanan kontak rapat untuk pelawat antarabangsa yang telah diberikan kepada White House untuk dikaji pada 15 September lalu.
#COVID-19 #FDA #CDC #WHO
;